Friday, February 12, 2010

Darah Merah AQSA...

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Alaykk~


BERITA jam lapan sedang ke udara. Pandangannya ditumpukan ke skrin kaca. Perhatian diberikan segenapnya. Menyorot inti utama berita. Berita yang berlegar-legar dalam skop yang itu juga. Topik yang sentiasa menjadi pertikaian. Tidak pernah berkesudahan.

Dia mengerutkan dahinya. Sesekali mendengus. Muak dengan perkembangan yang disampaikan. Liputan sidang damai yang sedang berlangsung di Tel Aviv di antara Yasser Arafat dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. Pertemuan diplomasi yang sudah termakruf akan natijahnya. Ucapan kedua-duanya juga diselang-selikan dengan sedutan beberapa siri sidang damai yang telah lalu, yang tidak pernah mendatangkan manfaat bagi Islam.

Melambat-lambatkan kebangkitan!


Remote-control ditekan. Televisyen padam serta merta. Tubuh yang letih disandarkan ke sofa lembut. Matanya melilau mengitari ruang tamu. Di depan ada almari. Di atasnya ada televisyen, piala, medal, bunga, dan susunan buku. Sebuah radio tua mengisi di sudut kanan. Di dinding, ada foto berbingkai. Gambar Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Ziyad merenung kubah kuning keemasan yang seakan-akan maya. Lama. Tidak semena-mena rindunya terhadap Quds tanah airnya semacam melimpah.

“Jangan engkau kuatkan azam untuk mendatangi melainkan yang tiga ini: Masjidil Haram, Masjidil Aqsa, dan Masjidku ini.”

Suara uzur bapanya menuturkan hadis itu memancing tumpuannya. Buku yang sedang dibaca segera dikatup. Ziyad menghadapi bapanya. Memandang wajah tua yang putih bersih.

“Bapa teringatkan Quds?” sapanya. Dia melihat mata lelaki itu berkaca.Syeikh Mahfodz tersenyum.

“Aku sedih. Umat Islam sekarang tak dapat melakukan apa yang disabda oleh Rasulullah SAW,” luahnya, bernada kesal.

Matanya yang agak terperosok ke dalam meneliti mashaf al-Quran yang lusuh. Menghayati maknanya barangkali. Bapanya seorang ulama. Seorang tokoh mujahid yang kehilangan tanah air dan telah dilupakan.

Ziyad terus memandang bapanya yang lumpuh. Menanti-nanti kalimat yang bakal terluah. Dia tahu; bila bapanya berkeadaan begitu, ada sesuatu yang ingin diberitahu. Mungkin tentang mimpinya yang semakin gharib kebelakangan ini. Bapanya pernah bermimipi Perang Teluk akan terjadi. Dan mimpi bapanya terbukti benar.

Syeikh Mahfodz mulai membaca ayat-ayat suci al-Quran. Matanya terpejam. Dia hafiz. Ziyad hanya mendengar. Surah al-Isra’, ayat satu hingga lapan. Dibaca secara tartil. Sayu.

“Quds adalah kiblat asal kita sebelum diubah ke Kaabah.”

Dia menutup mashaf. “Masjidil Aqsa sudah sebati dengan jiwa aku. Aku membesar di situ. Belajar di situ. Madrasah tarbiah yang telah membentuk sakhsiahku.”


Ziyad mengangguk. Dia tahu asal-usul mereka. Sejarah bapanya menentang penjajahan Yahudi. Bapanya berasal dari Rafat di Tebing Barat. Tetapi dibesarkan di pinggir Masjidil Aqsa. Sejak berhijrah ke Jordan, bapanya tidak pulang-pulang ke Palestin. Kesemua ahli keluarganya terbunuh dalam perang, kecuali dia dan adik lelakinya yang masih menetap di sana.

“Mengapa bapa? Ada yang tak kena?” Ziyad terus menyoal. Dia sedar bapanya mahu mengungkapkan sesuatu.

Syeikh Mahfodz menatap wajah anaknya dalam-dalam. Kemudian mengangkat tangannya. Ziyad merapati bapanya. Lantas memeluk lelaki itu.

“Aku mahu kau juga jadi seorang pejuang.”

Air mata bapanya membasahi bahu. Air mata seorang bekas pejuang yang tua dan lumpuh. Dia mengerti bapanya amat kesal kerana menjadi pelarian ke Jordan, sementara adiknya masih lagi berjihad. Keadaan waktu itu yang mendesak, yang memaksanya lari ke Jordan. Mereka tiada senjata untuk melawan. Sekadar membiarkan leher disembelih Yahudi tanpa sebarang ikhtiar, bukan caranya.Sebab itulah yang membawa bapanya ke sini. Biarpun telah beberapa dekad ia berlalu, namun semangat jihad itu masih seperti dulu.

Bayu padang pasir yang berhembus menggoyangkan langsir. Ziyad kembali dari imbauan lampau. Dia mengesat birai matanya yang sedikit basah. Terngiang-ngiang pesan bapanya di gegendang. Hajat bapanya yang mahu dia menjadi pejuang; menyambung sisa-sisa perjuangannya sewaktu muda dulu.

Dua minggu selepas peristiwa itu, bapanya meninggal setelah angin ahmarnya menyerang lagi. Itu empat tahun yang lalu. Sekarang dia mahasiswa tahun akhir Kuliyyah Siasah Universiti Yarmouk, Irbid. Pengajian politiknya akan berakhir musim panas ini. Tetapi, akhir-akhir ini dia sering terpanggil.Bayangan Masjidil Aqsa acapkali mengganggu tidurnya. Kerinduannya terhadap bumi berkat itu semakin membara. Mungkin perlu dia menziarahi Palestin buat kali pertama.

Thariq yang muncul dari dapur menghidupkan radio. Di tangan kanannya sepinggan humus dan falafil. Tangan kirinya menatang teko dan roti. Habibi Ya Nural Ain dendangan Amru Dhiyab sedang berkumandang. Keheningan segera terisi. Ziyad menceber. Irama arab cukup dibenci. Faudho.

“Sudah berapa kali aku kata, usah ingat dia lagi. Nawwal tak sesuai dengan kau. Dia Masihi.Pegangan kita jauh berbeza.” Thariq mengomel.

Ziyad menggeleng-geleng. Kesal dengan anggapan itu. Adiknya yang satu ini memang sering menuduhnya menggilai Nawwal – gadis Kristian yang menjadi rakan sekuliah.

“Apa kena kau ni? Aku dah lupakan dia,” tegasnya. Dia mencubit roti, lalu dicecah dengan humus sebelum disuap ke mulut. Thariq mencapai majalah Al-Mujtama’. Menatap sekali imbas ilustrasi muka depan. Kemudian menyelak helaian demi helaian.

“Aku nak ke Quds cuti musim bunga ini.”

Thariq masih leka membaca. Telinganya gagal menangkap jelas apa yang dituturkan. Ditambah suara Amru Dhiyab yang lantang.

“Aku akan ke Quds sebelum semester musim panas ini,” luah Ziyad sekali lagi.

“Kau gila?” Mata Thariq terbeliak. “Engkau tu tinggal satu semester lagi. Ingat sikit, sejak Netanyahu berkuasa, semangat anti-Arab semakin berleluasa. Semua pelawat dari Jordan disyaki pengintip.” Al-Mujtama’ dicampak ke tepi. Dia tidak setuju dengan keinginan abangnya. Niat itu suci, tetapi agak gila.

Ziyad tersenyum polos.

“Adik, barangkali kau dah lupa pesan bapa. Lagipun, Pakcik Ma’mun ada di sana. Mereka juga keluarga kita kan.”

“Aku tau. Tapi kenapa kau terburu-buru? Kau ada satu semester saja lagi. Ibu tentu tak setuju. Nahas kalau terjadi apa-apa.” Thariq memandang tepat wajah abangnya. Meminta penjelasan.

Ziyad geleng. Hatinya sudah bulat untuk ke Baitul Maqdis awal Jun nanti. Sudah lama dia memikirkan keinginannya yang satu ini. Semangatnya untuk menyaksikan sendiri intifadhah muslimin Palestin meluap-luap. Kalau ibunya tidak setuju, tahulah dia bagaimana mahu memujuk. Jus limau yang masih berbaki diteguknya sekali.

“Untuk apa takut? Ajal maut di tangan Tuhan,” selanya seraya bingkas dan melangkah ke kamar.

Thariq terkasima. Memandang roti, humus, dan falafil yang terbiar. Dia bagai tidak percaya dengan apa yang didengar.

* * *

Makcik Sarah menghidangkan sepiring kinafah yang telah dipotong. Bibirnya dari tadi sentiasa mengukir senyum. Gembira dengan kedatangan anak saudaranya. Pakcik Ma’mun menghirup teh yang masih berasap. Aroma herbanya menusuk hidung. Sementara Ziyad mengeluarkan buah tangan yang dibawanya dari Jordan. Kiriman ibu.

“Jordan masih macam dulu, pakcik,” selanya. Hadiah bertukar tangan.

Makcik Sarah yang peramah tidak putus-putus mengucapkan terima kasih. Ziyad senyum. Hatinya terharu, selebihnya bersyukur. Dia sendiri tidak menyangka akan berada di rumah bapa saudaranya. Setelah berjam-jam bersoal jawab di kedutaan, bahkan disoal siasat hampir sehari suntuk di sempadan, dia akhirnya beroleh visa. Bebas untuk menginjaki tanah airnya. Tidak ramai rakyat Jordan yang beruntung dapat masuk ke Palestin.

“Lama betul pakcik tak ke sana, sejak kematian arwah bapa kau. Cuma, selalu juga ikut perkembangan di televisyen.”

“Sama saja, pakcik. Baik di Jordan, Lebanon, mahupun Palestin. Nasib kita orang Islam tak pernah berubah. Ditindas, ditekan di mana-mana.”

Siaran televisyen Israel 2 ketika itu sedang menyiarkan pertemuan Raja Hussein Jordan dengan Bill Clinton di Rumah Putih. Ziyad mencemik. Meluat dengan lakonan Barat. Sandiwara mereka tidak pernah tamat. Macam-macam muslihat yang dibuat.

“Tengok tu. Sidang damai tak pernah putus. Tapi, semuanya membuang masa. Membuang duit.” Ada nada kesal dalam suara Ziyad. “Begitulah pemimpin kita … kalau sudah dicucuk hidung.”

Pakcik Ma’mun mengangguk. Segalanya sudah termaklum. Pemimpin Arab tidak pernah mahu bersatu. Saling bertelagah. Terlalu mengikut telunjuk Barat. Sedangkan kezaliman Yahudi kian bermaharajalela. Rakyat jugalah yang menjadi mangsa. Seinci demi seinci bumi mereka dirampas.

“Pakcik dah tak mampu nak aktif macam dulu. Selalu sangat uzur. Tak daya lagi nak berintifadhah. Cuma tinggal Munzir saja harapan kami.”

“Emm … hampir terlupa saya. Ke mana dia?” Ingatannya cuba membayangkan sepupunya itu. Sudah empat tahun tidak bertemu. Kali terakhir ketika kematian bapanya. Mereka hampir sebaya. Pelajar Universiti Hebron itu barangkali sudah bekerja.

“Dia keluar sejak pagi.” Pandangan Pakcik Ma’mun tertancap pada jam di dinding.

“Selalunya dia dah pulang waktu begini.”

Ziyad menjamah kinafah buatan Nablus yang terbiar sejak tadi. Cukup manis. Sekali-sekala matanya terpandang kelibat Sandora sepupunya yang berulang-alik ke dapur. Gadis itu cukup menjaga aurat dan pergaulannya. Gadis-gadis arab memang terpelihara. Tidak sewenang-wenang bercampur dengan lelaki ajnabi.

Seketika, loceng berbunyi. Seorang lelaki muncul di pintu. Munzir yang baru pulang masuk ke ruang tamu. Terkejut campur gembira melihat kehadiran sepupunya. Ziyad bingkas. Mereka segera bersalaman, berpelukan. Dan akhirnya sama-sama duduk di kusyen lusuh.

“Ke mana kau tadi?” tanya bapanya.

“Bayt Lehem. Ada pertemuan dengan pelajar. Dengar cerita, lusa ada rapat umum di Hebron. Netanyahu dan pimpinan tertinggi Likud akan melawat penempatan Yahudi di sana.”

Ziyad sekadar mendengar. Di hatinya terbetik rasa tidak sabar. Dia mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin dari keluarga ini. Malah, dia mahu merasai sendiri derita Palestin yang sekadar didengar sekian lama.

“Kau terlibat?” Dia memandang Munzir. Lelaki yang melilit serban merah di leher itu memang bercirikan seorang mujahid. Dengan tarbus merah di kepala; mirip Hassan al-Banna. Tampak berani dan cekal.

Angguk. “20 ribu penduduk asal Muslim diusir. 400 pendatang haram Yahudi dari Amerika akan membuka penempatan baru di sana. Kami akan berdemonstrasi.”

* * *

Selesai solat zuhur di Masjidil Aqsa, mereka meneruskan perjalanan ke Hebron kira-kira 60 kilometer ke selatan Quds. Munzir di sebelahnya sentiasa berzikir. Dua lagi rakan Munzir yang berada di depan hanya menyepi. Ziyad banyak membuang pandangannya ke luar. Tembok Baitul Maqdis semakin ditinggalkan di belakang. Di kiri kanan jalan, poster Netanyahu begitu banyak tertampal di sana sini. Beberapa slogan Yahudi juga turut terpampang sekali.

‘Tidak bermakna Israel tanpa Quds, tidak bermakna Quds tanpa Haikal’.

Propaganda Yahudi itu menjengah ruang mata. Sempat dia membaca tulisan besar di tepi jalan yang ditulis dalam bahasa Arab. Tadi, semasa tiba di Masjidil Aqsa, dia ingin melihat sendiri pembinaan terowong Haikal Sulaiman yang digembar-gemburkan. Tetapi, Munzir melarang. Telah ramai yang tidak pulang katanya bila mendekati kawasan itu. Hati Ziyad berasa amat benci dengan Yahudi. Perangai mereka pun tidak pernah berubah sejak dahulu. Tamak. Suka menindas. Memang wajarlah mereka dilaknat di dalam al-Quran.

Mereka melewati Bayt Lehem sebelum terus ke selatan. Ziyad teringat cerita bapanya. Saudara-maranya begitu ramai tinggal di bandar tempat kelahiran Nabi Isa AS ini. Itu dulu. Tetapi sejurus terjadinya Perang Arab-Israel pada 1967, ramai yang maut. Ada juga yang menjadi pelarian ke Lebanon.

“Sebelum sampai di sana, perbetulkanlah niat kita. Sekiranya kita ditakdirkan mati, biarlah sebagai syahid.”

Munzir yang tadinya ralit berzikir menuturkannya. Mulutnya masih terkumat-kamit. Di wajahnya tiada sebarang kegentaran. Tenang. Ziyad mulai menghitung-hitung dirinya. Mentajdid niatnya kembali. Tidak pernah dia bermimpi akan berada di sini. Merasai detik-detik perjuangan. Alangkah baiknya, jika Thariq turut ada bersama. Kendatipun dia bersyukur, adiknya sanggup menjaga ibu dan keluarga sepemergiannya.


Perjalanan tidak terasa terlalu lama. Masing-masing asyik dalam zikir. Sepuluh minit, dua puluh minit. Sebentar kemudian mereka tiba di sebuah bandar. Di sebuah papan tanda tertera perkataan ‘Al-Khalil’, atau Hebron dalam bahasa Ibrani. Ziyad memandang sepupunya.

“Rapat umum itu bermula pukul berapa?”

“Dua.” Munzir menjawab sepatah. Bibirnya sentiasa basah. Zikirnya semakin deras.

Ziyad mengelih jam. 1:45 petang. Kereta terus bergerak. Satu kilometer kemudian kereta berhenti. Di luar, ratusan anak muda sudah menanti. Lengkap bersepanduk. Rata-ratanya menutup muka dengan kain serban; mengelak dicam pihak berkuasa. Laungan takbir berbaur suara manusia menjadikan suasana agak bingit.

Ziyad sekadar melihat. Suasana begini terlalu asing baginya. Dia menuruti sahaja langkah Munzir. Lelaki bertarbus itu begitu sibuk. Bergegas ke sana ke mari. Bagai seorang ketua, setiap katanya akan dipatuhi. Dia begitu dihormati. Munzir mencapai pembesar suara. Kemudiannya, berucap seketika. Sejurus itu, mereka mula berarak perlahan-lahan menuju ke pusat bandar. Gema takbir terus kedengaran. Mereka mahu berdemonstrasi secara aman. Tatkala itu, matahari bersinar terik. Langit bersih membiru. Tiada sedikit pun awan yang berarak. Angin gurun yang bertiup dari tenggara sesekali mencium pipi. Panas.

Ziyad terkejut apabila bahunya dicuit orang. Munzir yang tadi berada di barisan paling depan sudah berada di sebelahnya. Mereka kini berada di tengah-tengah perarakan. Beberapa orang kanak-kanak masih lagi sempat berkejaran di celah-celah ratusan manusia.

“Aku harap kau mendapat pengalaman yang paling berguna. Inilah perjuangan kami,” tutur Munzir. Suaranya masih dapat didengar sekalipun takbir kian kuat. Dia menyarung topeng kain ke muka. Tidak lagi bertarbus. Yang nampak, hanya dua biji matanya.

“Aku tak pernah bermimpi bersama-sama kalian.” Ziyad melilit serbannya ke paras hidung.

“Munzir, kau yang merancang semua ini?”

Lelaki itu mengangguk. Ziyad tidak terkejut. Dari tadi dia sudah menjangka, lelaki inilah yang memimpin golongan pelajar dan belia. Pengatur setiap ucapan, rusuhan, dan tunjuk perasaan selama ini. Dia berasa dirinya terlalu kecil. Mereka berdua hampir sebaya. Tetapi sepupunya nyata jauh lebih matang. Malah, sudah bergelar seorang pejuang!

“Jihad tidak semestinya dengan senjata. Yang penting, kerana Allah,” bisik Munzir di telinganya sambil menguntum senyum.

Mereka semakin hampir dengan pusat bandar. Ziyad cuba-cuba menyusup ke barisan hadapan. Tiba-tiba, terdengar bunyi tembakan. Perarakan terbantut. Orang ramai mulai kelam-kabut. Masing-masing cuba menyelamatkan diri. Ledakan rifel bersimpang siur. Beberapa kedai di sekitar itu dihujani peluru sesat. Nun di depan, berderet-deret trak askar sedang menuju ke arah mereka.

Munzir segera menarik tangannya. Mereka berundur ke belakang. Berlindung di balik tembok sebuah kedai. Bom gas pemedih mata yang ditembak dari jauh bersepah di jalan. Askar-askar rejim Zionis semakin dekat. Beberapa orang pelajar yang tidak sempat melarikan diri ada yang rebah. Masing-masing panik. Tidak menyangka perarakan akan disekat sebegini cepat. Biasanya askar-askar Israel akan bertindak bila rakyat memberontak.

Namun para pelajar yang tadinya bertempiaran cuba bertindak balas. Mereka melastik dan membaling batu. Beberapa pelajar yang rebah mula menjadi mangsa. Dipukul tanpa belas kasihan. Beberapa orang lagi yang gagal melarikan diri diheret masuk ke trak. Munzir sempat mengarahkan beberapa orang melempar bom asap. Setidak-tidaknya akan mengabui lawan; membolehkan mereka melepaskan diri. Tanpa dijangka, beberapa jip muncul dari arah belakang. Masing-masing sudah kehilangan arah. Suasana menjadi semakin kalut. Mereka terkepung!

Munzir menjerit mengarahkan mereka supaya menyelamatkan diri. Dia gusar semakin ramai yang akan ditahan pihak berkuasa. Buruk padahnya. Mereka terus bertempiaran. Menerobos lorong-lorong di sekitar itu. Letusan senjata api di mana-mana. Jeritan dan tempikan mula kedengaran. Ada pelajar yang telah kena tembak. Ramai juga yang cedera.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, Ziyad mengikuti derap sepupunya. Mereka berlari sekuat hati. Nahas jika tertangkap. Ada jip askar yang mengikuti di belakang.

“Kita kena khianat. Celaka. Ada orang bocorkan rahsia!” Munzir menyumpah-nyumpah. Langsung tidak menyangka rancangannya memprotes pengusiran penduduk asal Arab dikesan lebih awal. Tentu ada yang jadi tali barut. Wajahnya membersut geram.

Mereka terus berlari. Ziyad mulai termengah-mengah. Lariannya tidak sederas tadi. Masing-masing kehilangan nafas. Tidak semena-mena, Munzir rebah. Mata Ziyad terbelalak melihat bahu sepupunya ditembusi peluru. Darah panas memancut-mancut keluar. Dia memangku Munzir.

“Lari!” Suruh Munzir, lirih. Tubuhnya semakin lemah.

Ziyad menggeleng. Tidak tergamak meninggalkan Munzir keseorangan nazak di situ. Dia cuba memapah sepupunya. Namun apabila dia bangkit, beberapa orang lelaki bersenjata api sudah berada di sekelilingnya.

* * *

Irbid macam biasa. Malam kelam. Bulan agak terlindung. Namun tiada tanda-tanda hujan akan turun. Musim panas baru hendak bermula. Thariq berdiri di jendela kamarnya. Pandangannya dibuang ke luar. Telinganya menangkap suara pembaca berita stesen radio di Amman. Setiausaha Negara Amerika Syarikat dilaporkan akan menemui Benjamin Netanyahu di Tel Aviv untuk membincangkan proses damai di Timur Tengah. Thariq tidak berminat untuk terus mendengar. Semua itu pembohongan semata. Sidang damai tidak pernah menguntungkan Islam. Israel dan Amerika Syarikat sama sahaja. Cuma mereka yang masih tidak sedar.

Thariq mematikan radio. Nafasnya ditarik panjang-panjang. Sejak tadi, dia tidak keruan. Surat yang baru diterima dari Sandora hampir renyuk di tangan. Berita yang cukup menyedihkan. Dia tidak tahu bagaimana mahu memberitahu ibunya. Atmanya sendiri hampir tidak terkawal. Sukar untuk menerima kenyataan.

Bayu dingin dari Mediterranean terus berpuput. Sejuk. Thariq merapatkan jendela. Detik itu, sebak mula menggempur di dada. Hatinya bagaikan merusuh dan meronta-ronta. Turut sama terasa derita Palestin yang kehilangan tanah airnya. Sedang dia pula baru kehilangan saudaranya. Nasib mereka barangkali memang telah ditakdirkan; serupa.

sumber: ikim.net.my (Pak Teh)

Sesungguhnya Allah Menyayangimu..

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Alaykk~

Credit to Kak Nur-nasyidfm..=)

Hakikatnya hidup ini tidak pernah sunyi dari setiap dugaan dan ujian. sebagai umat Islam seharusnya kita yakin sesungguhnya setiap cabaran dan ujian hidup itu adalah bukti kasih sayang Allah terhadap kita.

Berdasarkan ayat daripada Firman ALLAH SWT, surah al-Fijr, ayat 15-17

“ Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakannya dan diberiNya kesenangan,maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakan ku”. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezkinya maka dia berkata:” Tuhanku menghinakan aku”. Sekali-kali tidak sedemikian, sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim."

Kita harus fahami bahawa setiap kenikmatan dan kelapangan yang diberikan itu BUKAN bermakna Allah telah memberikan kemuliaan. Dan setiap orang yang diberikan ujian dan cubaan itu BUKAN bererti Allah telah menghinakannya.

Ibnu Qayyim telah mensyarahkan dalil daripada ayat-ayat tersebut menyatakan golongan pertama itu sebenarnya telah diuji dengan beberapa kenikmatan dan golongan yang kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya cubaan dan ujian.

Apa yang penting bersabar dan bermuhasabahlah selalu kepada Allah swt. Setiap orang yang beriman pasti akan menerima cubaan. Yang pasti, setiap ujian itu akan sentiasa kita alami sepanjang hayat, cuma tahap dan bentuknya mungkin berbeza-beza.


Sebagaimana yang diriwayatkan dari sebuah hadis,

Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya kepada Rasulullah saw., Siapakah orang yang paling berat cubaannya ? Jawab baginda, Di antara orang-orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya, maka beratlah ujian yang diterimanya. Sekira agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya.
(Riwayat Tirmizi)


Setiap kali kita diuji, walau seberat manapun cabarannya, ketahuilah... ianya akan menjadi kayu pengukur yang menentukan keteguhan iman seseorang. Pelbagai ujian dan dugaan yang diterima itu, adalah bukti kasih sayang pencipta terhadap hambaNya. Dan juga untuk memastikan kita semua memiliki iman yang lebih kuat selepas berjaya menempuhnya dengan penuh kesabaran.

Imam Ghazali ada menulis di dalam kitabnya Mukasyafah Al Qulub :

Sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.

Selain bersabar. Apa yang paling penting ingatlah Allah dan berdoalah selalu. Doa itu adalah ubat yang paling mujarab. Menurut Ibn Qayyim di dalam kitabnya Ad Da Wad Dawaa, DOA adalah musuh segala bencana. Ianya dapat menolak malah dapat menghilangkannya. Ataupun sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang.

Sesungguhnya berdoa itu adalah senjata orang mukmin.
Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam kitab sahihnya yang berasal dari Ali bin Abi Talib R.A., sabda Rasulullah saw,

Doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit serta bumi.


Akhir sekali, hayatilah sabda Rasulullah saw yang maksudnya cukup indah dan mendalam sekali. Semoga ianya serba sedikit boleh menjadi penawar ataupun sekurang-kurangnya memberi sedikit suntikan kekuatan untuk kita di dalam menempuh apa saja ujian yang datang.
Janji Allah dalam sabda Rasulullah saw;

Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa penyakit atau lainnya, melainkan kerananya Allah akan menghapuskan keburukan-keburukannya sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya.
(Hadis Riwayat Bukhari)


Semoga kita semua sentiasa bersabar, mengingati Allah dan berdoa selalu di dalam menghadapi apa saja bentuk ujian yang mendatang.

PERCAYALAH sesungguhnya Allah menyayangimu
WALLAHUALAM.

SIRRUN A`LA BARAKATILLAH

p/s: pelangi indah akan muncul jua~

Air Mata Ketaqwaan....

بسم الله الرحمن الرحيم


Salam Alaykk~

~Munajat Cucunda Rasullullah s.a.w~


(seorang pemuda merintih kesedihan)


“Tuhanku…gemilang langit-Mu telah tenggelam,

Semua mata makhluk-Mu telah tertidur,

tetapi pintuMu terbuka luas buat pemohon kasihmu,

Aku datang menghadapMu,

Memohon ampunanMU,

Kasihanilah daku…


(Dia merintih lagi)


Demi kemuliaan dan kebesaran-MU,

Maksiatku tidaklah menentang-MU,

Ketika ku lakukan maksiat..ku lakukan bukan kerana meragukanMU,

Bukan kerana mengabaikan siksa-MU,

Bukan kerana menentang hukumMU,

Ku lakukan kerana pengaruh hawa nafsuku,

Dan kerana Kau hulurkan tirai untuk menutupi aibku…


(tangisannya semakin keras..)


Maha Suci Engkau….

Engkau di lawan seakan-akan Engkau tiada,

Engkau selalu pemurah…

Seakan-akan Engkau tidak pernah dilawan..

Engkau curahkan kasih-MU pada makhluk-Mu,

Seakan-akan Engkau memerlukan mereka,

Pada hal Engkau ,duhai Junjunganku….

Tidak memerlukan itu semua…


p/s: ya Allah,dimanakah letaknya diriku..:'(

Wednesday, February 10, 2010

Motivasi ke ni?

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Alaykk~

Semalam dapat email dari
Cikgu Laili..hehe..thanks cikgu forward email ni kat saya..comel sangat!..jom tingkatkan kembali semangat yang dah hilang tuh~..enjoy tapi bermanfaat,okeh..^^

Di bawah ni ada beberapa tips yang boleh kita praktikkan untuk motivasi diri..

1. Rancangkan dahulu apa yang perlu
dibuat dan tetapkan matlamat.
2. Senyumlah selalu..senyuman boleh
menenangkan jiwa dan juga sebagai sedekah.



3.Dapatkan rehat dan tidur yang berkualiti.







4. Jangan membahayakan diri sendiri atau menzalimi diri.




5. Binalah persahabatan yang erat
dan saling menyayangi.







6. Sesekali hiburkanlah hati sendiri
dengan melakukan apa yang diminati.






7. Tonjolkan penampilan diri yang menarik
dan kemas. Sesekali bergaya, apa salahnya.








8. Kawal berat badan anda dan
jangan terlebih makan..takut jadi obes pula.



9. Amalkan gaya hidup sihat.
Jangan menghisap rokok..bahaya untuk kesihatan.










10. Lakukan pemeriksaan kesihatan
menyeluruh bagi mengetahui tahap kesihatan diri.




11. Tenangkan fikiran dan relaks sekejap.










12. Mandi setiap hari...
jangan malas mandi tau !





13. Jadilah diri sendiri (bukan orang lain)
dan berbanggalah dengan kemampuan diri.





14. Jangan menunjuk-nunjuk atau alim-alim kucing.







15. Lakukan kerja seikhlas hati.



16. Yang paling penting,
sentiasalah berdoa kepada Allah.













p/s: i'm lovin it!..hee..thanks cikgu!
~memang motivasi~

Lilypie Angel and Memorial tickers