Monday, January 25, 2010

Bersangka baiklah pada Dia....


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Alaykk~

Nota buat diri..:'(

Semalam saya sempat membaca artikel yang membuatkan hati dan jiwa yang dibelenggu dengan berbagai mehnah ujian terasa tenang..sesuailah dengan tajuknya..
Tenanglah tenang, ia kan datang...

Bersyukur saya ketika terjumpa dengan artikel ini di saat hampir tenggelam..sesuatu yang mendalam yang memberi kekuatan dan mengetuk hati yang terlena..luka itu satu kedamaian..Subhanallah..jazakallahukhair buat
Hilal Asyraf..for this thought moment!..bersangka baik dengan Allah ye hajar!

Pernah rasa ditinggalkan? Pernah rasa tertekan sehingga kadangkala terasa seperti terkorban? Pernah rasa sempit sehingga menyesakkan? Gagal dalam sesuatu perkara kemudian tenggelam dalam kekecewaan? Diuji hebat sehingga rasa kesesakan?

Kita rasa seakan sendirian. Tiada siapa mahu mendengar cerita kita. Kita rasa tiada bantuan. Tiada siapa mahu menghulurkan tangan. Lebih buruk lagi, sehingga satu tahap, kekecewaan kita sampai kepada kehilangan kepercayaan kepada Allah SWT. Kita kata…

Allah sudah tinggalkan kita.

Tenang. Tenanglah tenang.

Sesungguhnya pertolongan itu akan datang.

Hakikat ujian

Segala yang menyukarkan itu adalah ujian. Segala kesenangan juga adalah ujian. Jangan rasa sempit apabila anda disusahkan sesuatu. Belajarlah untuk berlapang dada. Anda kena yakin bahawa, hidup adalah ujian. Ya, hidup itu sendiri satu ujian. Susah senang, semuanya ujian.

Yang anda perlu kisah, bukannya ujian anda itu senang atau susah, yang anda perlu kisahkan adalah kenapa Allah memberikan ujian? Kenapa tidak Allah permudahkan sahaja segala perkara?

Di sini jawapannya:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”

(Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

Ya, ujian itu untuk menguji keimanan. Itu hakikatnya. Maka, ujian dalam bentuk kesusahan, ujian dalam bentuk kesenangan, semuanya bertujuan untuk perkara ini.

Menguji keimanan.

Jadi, kalau sehingga anda rasa telah ditinggalkan Allah, maka bagaimana dengan keimanan anda?

Kekal percaya

Satu pesan Ustaz Mahadzir(Ketua Warden MATRI) yang saya tidak pernah lupakan adalah:

“Hilal, enta kena bersangka baik dengan Allah”

Ya, bersangka baik dengan Allah yang mengatur segala-galanya. Tahukah kita bahawa, apa sahaja yang Allah aturkan dalam kehidupan kita, adalah baik untuk kita?

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

(Surah Al-Baqarah ayat 216)

Jadi, kenapa kita tidak boleh bersangka baik kepada Allah SWT? Sedangkan Dia Maha Mengetahui, dan kita tidak mengetahui apa-apa?

Susah. Ya, memang susah. Saya sering kata, kalau inginkan syurga yang kesenangannya tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah terlintas di dalam jiwa, maka pasti usahanya menggegarkan dunia.

Sebab itu, Allah menyatakan dalam firman-Nya:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”

(Surah Al-Baqarah ayat 214)

Mereka sehingga teruji, hingga mereka berkata: “Di manakah pertolongan Allah?”

Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.

Adakah anda percaya?

Selepas kesusahan, akan ada kesenangan

Kesusahan yang menyentuh kita, pasti akan berakhir. Namun sejauh mana kekuatan kita untuk sabar? Di sinilah kita perlu letakkan titik muhasabah kita.

Setiap kesusahan, akan diiringi kesenangan bagi sesiapa yang tabah melaluinya.

Allah SWT berfirman:

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

(Surah Asy-Syarh ayat 5-6)

Dan lihatlah apa firman Allah SWT dalam surah sebelumnya:

“Demi waktu dhuha, Dan malam apabila ia sunyi-sepi, (Bahawa) Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik)”

(Surah Ad-Dhuha ayat 1-3)

Ya, Allah tidak membenci kita. Jauh sekali meninggalkan kita.

Saya belajar dalam tafsir Al-Quran, bahawa perkataan Dhuha digunakan, adalah kerana ia waktu matahari naik dan dunia terang benderang. Bermakna – telah datang bantuan/kesenangan. Dan malam digunakan, kerana waktu itu gelap. Maka bila Allah berfirman: Dan malam apabila ia sunyi-sepi bermakna – dan apabila kesukaran telah berlalu/ dan apabila kesempitan telah berlalu dan sebagainya.

Ayat ini turun semasa Rasulullah SAW dalam kesukaran. Wahyu terputus agak lama. Sehingga Rasulullah SAW merasakan yang Allah meninggalkan baginda. Maka Allah menurunkan ayat ini, sebagai penenang jiwa baginda.

Penenang, untuk jiwa kita juga.

Yang menyatakan bahawa kita beriman kepada-Nya.

Penutup: Bagi yang teguh, dia akan bahagia

Saya kira, perjalanan tersukar dalam sejarah kehidupan ini adalah perjalanan hidup Rasulullah SAW. Baginda memulakan dakwah dalam keadaan sangat sukar. Dicaci, dihina, dibaling najis, dicederakan, cuba dibunuh dan dikhianati oleh kaum munafiq dan pelbagai lagi cubaan. Lebih-lebih lagi di fasa Makkah, terdapat banyak kesukaran yang baginda hadapi, antaranya dipulau selama 3 tahun 3 bulan sehingga terpaksa memakan daun kering.

Tetapi baginda dan para sahabat tabah. Kekal percaya dengan janji-janji Allah SWT. Tidak duduk diam, malah berusaha dengan kuat untuk mengejar janji-janji Allah SWT.

Akhirnya, kita lihat kegemilangan mereka di akhir period dakwah Rasulullah SAW.

Dan bukanlah di dalam kesukaran itu semuanya menyempitkan.

Bagi yang tenang, dalam kepahitan itu ada kemanisan.

Namun siapakah yang benar-benar beriman?

http://ms.langitilahi.com

“selepas setiap kesusahan ada kesenangan..
maka bersabarlah dengan setiap ujian, dugaan dan musibah yang melanda.."

Subhanallah,pengisiannya benar-benar membuatkan lubuk hati yang paling dalam terus terkesan di jiwa dan mengalirkan air mata kesyahduan, air mata kepiluan dan air mata keinsafan atas apa yang telah berlaku pada diri selama ini...selepas ini, inshaAllah saya akan lebih yakin untuk melangkah walaupun berseorangan tanpa ditemani oleh manusia kerana ALLAH akan memerhatikan saya dan akan membantu saya jika sy tersadung….

~semoga Allah redha dengan kita semua...ameen..

4 heart (s):

amirahsaryati said...

Salaam, thanx for this post hajar.. :)
ada kawan post this link from Hilal's blog, tapi tak tergerak hati nak baca.. tapi dapat baca kat blog Hajar, alhamdulillah!

yg baik, yg buruk, semuaa dari Dia belaka.. hatiku, bersangka baik ya! ;)

hamraa' ツ. said...

wasalam,amirah..it's such a pleasure..^^
yeap,dalam apa jua keadaan,bersangka baiklah walaupun terkadang perkara tu kita langsung tak mahu terjadi dalam life kita~..

keep cheers!inshaallah setiap persoalan pasti ada jawapannye..;)

Anonymous said...

Salaam...
Really touched my heart..kita yang kadang2 bersangka tak elok dgn tiap apa yg berlaku dlm life kita.
Yang baik,semuanya darì Allah..:)

Anonymous said...

salam sy nk minta izin berkongsi ilmu dgn rakan fb sy dr hasil penulisan awk ini.. moga2 awk dirahmati dan diberkati oleh Allah swt..

Lilypie Angel and Memorial tickers