Tuesday, August 24, 2010

Fasa Kedua...

بسم الله الرحمن الرحيم


Salam Alaykk~

Okay,saya tak ada idea..so, artikel ini di 'copy paste' dari : ISMA Mesir



Sudah berlalu hari-hari yang disebutkan Rasululullah sebagai permulaan bulan Ramadhan  yang dijanjikan rahmat oleh Allah swt. Masa yang berlalu dirasakan sangat sekejap apatah lagi bagi mereka yang masih  leka. Ambillah masa sejenak untuk merenung kembali diri, adakah kita menggunakan masa yang diberikan dengan sebaik mungkin? atau adakah kita masih lalai daripada merebut peluang keemasan tersebut.

Sebelum memasuki Ramadhan, semangat kita  berkobar-kobar untuk mendekatkan diri kepada Allah dan merebut segala tawaran yang disediakan Allah kepada kita. Segala perancangan dilakukan dengan sangat teliti agar setiap saat tidak dibazirkan. Alhamdulillah, permulaan niat yang baik, insya Allah mendapat pahala di sisiNya.

Setelah seminggu lebih berlalu ,marilah kita sama-sama muhasabah diri kita. Adakah segala perancangan berjalan lancar? Adakah semangat seperti itu masih membara dalam diri  ataupun sebenarnya semangat itu sebenarnya sudah terpadam tanpa disedari.  Ataupun, kita sentiasa berlumba-lumba membuat amal ibadat tetapi kita seolah-olah tidak merasai diri semakin dekat kepada Allah.

Setelah memasuki madrasah tarbiyah ini,  kita sepatutnya merasai  kemanisan  peningkatan iman dalam diri. Jika  mulut masih lagi basah bercakap benda-benda  yang  tidak berfaedah, telinga asyik mendengar umpatan dan lagu-lagu yang melalaikan, mata tidak lekang daripada melihat benda yang tidak sepatutnya, gelak katawa melebihi tangisan penyesalan, masa senggang diisi  dengan  menonton cerita, pendek kata, diri  masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda perubahan yang positif, ini bermakna ada sesuatu  yang tidak kena dengan diri kita.



Setelah ‘post-mortem’ dibuat, ternyata bahawa hati dan jiwa masih lagi sakit. Hari-hari dalam bulan Ramadhan yang berlalu  tidak memberikan apa-apa kesan terhadap jiwa kita disebabkan kelalaian diri kita sendiri  yang tidak bersungguh-sungguh menggunakan Ramadhan untuk merawat segala penyakit hati dan membiarkan diri menjadi hamba kepada nafsu . 

Terangkanlah  kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya..
[Al-Furqan :43] 

Rupa-rupanya diri ini masih lagi dijajah oleh nafsu sendiri tanpa disedari.

Berkata salah seorang tabi’in : Musuh diri ada tiga : dunia, syaitan dan nafsu. Maka perangilah dunia dengan zuhud di dalamnya, dan perangilah syaitan dengan menentangnya, dan perangilah nafsu dengan mujahadah dengannya. Berperang dengan nafsu merupakan salah satu daripada jihad yang amat sukar dilaksanakan. Namun demikian,  Allah yang  Maha Penyayang tidak akan membiarkan hambaNya berperang  tanpa mengajar selok-belok peperangan. Firman Allah, 

“Dan bagi orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami…” 
[Al-‘Ankabut:69]

Justeru, Allah telah menghadiahkan  Ramadhan sebagai latihan dan persiapan diri menghadapi peperangan nafsu dalam bulan-bulan seterusnya. Tambahan pula, Ramadhan memudahkan kita lebih fokus menundukkan nafsu dengan berpuasa dan kita lebih  mengenali tabiat nafsu ini  kerana salah satu musuh kita, iaitu syaitan telah diikat oleh Allah. Kita juga berpeluang menghapuskan segala dosa dan  mengaut  segala limpahan pahala demi menampung dosa-dosa terdahulu. Selain itu, puasa yang difardhukan juga adalah untuk menjadikan kita hamba yang bertakwa.



Sesungguhnya ini merupakan peluang yang datang sekali dalam setahun iaitu peluang yang dirasakan seorang hamba benar-benar bersama dengan Tuhan yang menciptakannya.

Kita seolah-olah seperti  anak kecil dalam pelukan manja seorang ayah. Segala permintaan kita akan ditunaikan dengan izinNya dan pelbagai ganjaran disediakan sebagai galakan  kepada kita untuk terus berjuang  di medan pertempuran ini. Betapa kasih dan sayangnya Allah kepada hambaNya. Semua ini diberi supaya kita semakin dekat kepadaNya.

Sedarlah wahai diri, Allah masih lagi menawarkan kepada kita nikmat-nikmatNya yang tidak terhigga walaupun  kita sering mengundang kemurkaanNya tanpa sedikit pun kita rasa bersalah dan malu.

“ Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku,maka (jawablah),bahawasanya  Aku adalah dekat.Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka sentiasa berada dalam kebenaran “ 
[Al-Baqarah :186] 

Oleh itu, janganlah kita melepaskan peluang untuk mendekatkan diri kepadaNya.

Terdapat juga sesetengah  insan yang bersungguh-sungguh memperbanyak amal ibadat dalam bulan ini tetapi seolah-olah tidak dapat merasai kemanisan iman. Ini juga penyakit hati yang patut dirawat. Cuba lihat semula diri kita, adakah amal ibadat yang kita lakukan disertakan sekali dengan niat ikhlas kerana Allah?

“Barangsiapa  mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya”
[Al-Kahfi :110]





Dalam ayat ini jelas menunjukkan syarat penerimaan amalan adalah amalan yang saleh beserta niat yang ikhlas kerana Allah. Menurut Amr Khaled dalam buku islah qulub, kebanyakan orang  kuat agama  yang futur adalah disebabkan oleh  terlupa bersertakan niat ikhlas dalam amal ibadatnya yang banyak.

Setiap hari kita melakukan amal ibadat yang banyak sehingga  merasakan ibadat itu seperti rutin harian. Inilah kesilapan yang selalu kita lakukan, menganggap sudah menjadi kebiasaan  dalam bulan Ramadhan untuk mempertingkat amal ibadat. Kita berlumba-lumba beribadat tanpa mengambil kira amalan ini diterima ataupun tidak. Apa yang penting, segala yang telah dirancang mesti dilaksanakan sehingga terlupa objektif utama  ibadat adalah mendekatkan diri kita  kepada Allah.

Justeru, kita hendaklah  sentiasa mentajdid niat dalam apa jua amalan yang kita lakukan supaya apa yang kita buat ini adalah kerana Allah, bukan kerana kebiasaan. Yang paling penting segala  amalan ibadat dalam bulan ramadhan ini diterima Allah dan terasa kemanisan beribadat kepadaNya. Barulah kita mampu istiqamah dalam bulan-bulan seterusnya kerana keseronokan kita beribadat kepada Allah paling didambakan melebihi mengharapkan ganjaran pahala.

Natijah ramadhan ini bergantung kepada tahap kesungguhan diri kita sendiri untuk mendekatkan diri kepada Allah, melepaskan diri daripada cengkaman nafsu  dan membersihkan diri daripada segala kekotoran. Jalan sudah terbentang, cuma kita yang menentukan diri kita hendak menjadi orang yang beruntung ataupun orang yang rugi.

Dan Allah mengilhamkan kepada jiwa itu(jalan) kefasikan dan ketakwaannya.sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu.dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” 
[As-Syams : 8-10]

Jika hari-hari yang sudah berlalu kita  dalam keadaan terleka, maka insaflah dan mohonlah keampunan daripada  Allah. Kita masih belum terlambat. Ruang untuk kita membaiki diri masih terbuka. Allah melihat segala ibadat yang kita lakukan siang dan malam. Jadikanlah Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terakhir untuk kita perbanyak amal ibadat.

“ Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan  atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.” 
[Ali Imran : 135-136]

Firman Allah ini menyejukkan hati insan yang baru terjaga daripada lena. Memberi semangat baru kepada kita untuk terus berusaha menghapuskan dosa-dosa dan mengikis saki-baki  karat  jahiliyyah yang masih terlekat dalam diri. Serta memperbaik mutu amalan kita supaya diterima Allah.

Ramadhan hanya tinggal beberapa hari lagi. Pertingkatkanlah  usaha supaya kita bebas daripada kekuasaan nafsu. Ini disebabkan oleh, kita yang sepatutnya menguasai nafsu ini. Jadilah  seorang yang merdeka jasad, akal dan ruh dan seorang hamba yang sangat patuh kepada penciptanya.

Semoga ramadhan kali ini dapat menyembuhkan jiwa-jiwa yang sakit dan keluarnya kita daripada madrasah ramadhan ini seperti bayi yang baru lahir, suci daripada segala dosa. Janganlah kita tergolong dalam orang yang disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad saw, melepas dan rugilah bagi orang yang didatangi  ramadhan tetapi tidak  diampunkan dosanya.

Hai jiwa yang tenang.kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu” 
[Al-Fajr:27-30]





Semoga acuan ramadhan kali ini dapat membentuk diri dengan pembentukan rabbaniyyan bukan setakat pembentukkan ramadhaniyyan.Selamat bermujahadah! 

Wallahualam

0 heart (s):

Lilypie Angel and Memorial tickers