Wednesday, June 30, 2010

Forgive Me When I Whine – Ahmed Bukhatir

بسم الله الرحمن الرحيم


Salam Alaykk~

Dalam perjalanan yang belum terhenti ini. Jalan selangkah yang lalu, penuh dosa dan noda… Bersilih ganti, antara godaan dan keinsafan. Layakkah aku dalam rahmat-Mu… Di bawah lembayung rahmat-Mu. Walau seringkali godaan yang memburu. Seringkali itu juga seribu keinsafan berbisik dihati.

Pujuklah Hatimu..~

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Alaykk~


Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai’e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.


Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.


Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah. Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan.


Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati
Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan



Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya

Begitulah Kisah seorang Nabi
Diuji Allah begitu sekali


Wahai Dai’e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da’wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan. Menyoroti kehidupan Dai’e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:


“Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah: "Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya.” [Al-Furqan:56-57]

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.” [Al-Anbiyaa’:87]

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai’e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” [Ali-‘Imran:139]

Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.

Wallahu'alam~

Ranjau-Ranjau di Perjalanan

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Alaykk~

Wahai syabab... carilah cintamu pada Allah... kerana Allah telah memberikan ujian kepada sesiapa yang dikehendaki untuk menguji keimanannya dan mendekatkan dirinya kepada Allah. Sungguh.. Allah seperti menunggu kita kembali mengadu dan meminta padaNya. Dan jangan pernah berasa keseorangan kerana Allah sentiasa dekat dengan kita dan lebih sayangkan kita dari sayang seorang ibu kepada anaknya. Kerana cinta padaNya tidak akan membuat kita terluka. Pemuda.... dirimu terlalu istimewa kerana Allah menciptakan sesuatu dengan hikmahnya tersendiri..



:: Imam Syahid Hassan Al-Bana::

"Saya ingin terus terang menyatakan kepada kamu, bahawa hari ini dakwah kamu ini masih belum dikenali orang ramai. Apabila mereka mengetahui dan memahami matlamat dan tujuan dakwah ini kamu akan menerima permusuhan dan pertarungan yang sengit dari mereka. Kamu akan mendapati di hadapan kamu kesukaran-kesukaran dan kamu akan dihalangi oleh ranjau-ranjau.


Hanya pada ketika itulah sahaja kamu baru mula mengikuti jalan para pendukung dakwah... adapun sekarang ini, kamu masih belum dikenali, kamu masih dalam peringkat membuat persediaan untuk dakwah dan bersedia untuk menghadapi perjuangan dan jihad yang dituntut oleh dakwah.


Kejahilan umat tentang hakikat Islam akan tegak sebagai rintangan di pertengahan jalan, kamu akan mendapati ahli agama yang terdiri daripada ulamak rasmi akan memandang ganjil pemahaman kamu terhadap Islam dan mengingkari jihad yang kamu lakukan untuk memperjuangkan kefahaman kamu itu. Para pemimpin, ketua-ketua orang yang rindukan kemegahan dan kekuasaan akan menaruh dendam kesumat terhadap kamu. Kesemua bentuk pemerintah akan tegak serentak menghadapi kamu, semua kerajaan akan berusaha membatasi kegiatan kamu dan meletakkan rintangan-rintangan di jalanmu."


"Penyamun-penyamun ini akan memasang perangkap dengan apa cara sahaja untuk dapat menentang kamu dan memadamkan sinar dakwah kamu. Dalam usaha-usaha mereka ini mereka akan menggunakan kerajaan-kerajaan yang lemah, akhlak yang rendah dan tangan-tangan yang sentiasa menadah sesuatu dari mereka tetapi melakukan kejahatan dan permusuhan terhadap kamu."



"Kesemua mereka akan menaburkan salah faham dan tuduhan-tuduhan kabur terhadap dakwah kamu dan mereka akan terus berusaha untuk melemparkan tuduhan yang mengatakan bahawa dakwah kamu itu tidak sempurna, tempang dan songsang, sekalipun mereka melemparkan tuduhan-tuduhan itu dengan cara yang paling kotor, menggunakan kekuatan dan kekuasaan mereka, berlaku zalim dengan menggunakan harta kekayaan dan kedudukan mereka.

Firman Allah:

"Mereka ingin hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayanya
sekalipun orang-orang kafir benci."

[Ash-Shaff: 8]

"Tidak syak lagi kamu akan mengharung dan menghadapi perkara-perkara tersebut dalam peringkat ujian dan cubaan, kamu akan ditangkap, dipenjara, dibuang daerah, dipindah dan diporak-perandakan. Segala kepentingan-kepentingan kamu akan dirampas, kerja-kerja kamu akan dibekukan dan rumah-rumah kamu akan digeledah. Boleh jadi masa ujian ini kamu lalui dalam satu jangka waktu yang panjang.


Firman Allah:

'Apakah manusia itu menjangka bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman," sedang mereka tidak diuji."

[Al-Ankabut: 2]

"Tetapi ingatlah bahawa setelah ujian-ujian ini Allah telah menjanjikan akan memberikan pertolongan kepada para mujahidin dan ganjaran bagi mereka yang beramal dan berbuat baik.


Firman Allah:

"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahuinya, nescava Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga `Adnin. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang hampir (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Para pengikutnya yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah, lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan (yang lain) kafir. Maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang."

[Ash-Shaff: 10-14]


"Tidakkah kamu akan tetap pendirian untuk menjadi ansarullah?"

Wednesday, June 23, 2010

Cintaku Kerana Allah~!

بسم الله الرحمن الرحيم

"Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada',tetapi para nabi dan syuhada' mencemburui mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t.Kata para sahabat,khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah S.A.W bersabda:"Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan.Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya.Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka tidak bersedih.Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih."
[HR Tirmidzi]

Saat kau senyum dan ketawa, fikirlah walau sesaat tentang sahabatmu. Barangkali saat dan ketika kau menikmati keindahan langit biru, hatinya sedang terluka dan diselubungi awan mendung. Setelah kau sedari betapa bernilainya dirimu kepadanya, janganlah kau tinggalkannya sendirian. Ketika sahabat melukai hatimu, tulislah di atas pasir, biar angin kemaafan menghembus membawa bersama kelukaanmu itu. Sebaliknya ketika sahabatmu membuat kebaikan padamu, maka tulislah di atas batu hatimu, agar terpahat utuh walau dilanda badai….

”Bila menjalin ukhwah hanya keranaNya, pasti ada ujian dariNya kerana Dia mahu melihat sejauh mana keikhlasan hati hamba-hambaNya”.

Antara hal-hal yang boleh menguatkan ukhuwah Islamiyah adalah:
1. Memberitahukan kecintaan pada yang kita cintai
2. Memohon didoakan bila berpisah
3. Menunjukkan kegembiraan & senyuman bila berjumpa
4. Berjabat tangan bila berjumpa (kecuali non muhrim)
5. Mengucapkan selamat berkenaan dengan kejayaan
6. Memberikan hadiah pada waktu-waktu tertentu
7. Sering mengunjungi saudara
8. Memperhatikan saudaranya & membantu keperluannya
9. Memenuhi hak ukhuwah saudaranya

"dan Dia(Allah) yang mempersatukan hati mereka(orang yang beriman).Walaupun kamu menginfakkan semua(kekayaan) yang berada di bumi,nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka,tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka.Sungguh Dia Mahaperkasa,Mahabijaksana."
[Al-Anfal 8:63]

"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah".
(HR Imam Ahmad)

Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan teman. Kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan teman sebagai kekuatan. Jadilah kita temannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Disebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu…tetapi kita boleh tahu jika kita ikhlas bersahabat dengannya.

Sahabat adalah cerminan diri, sahabat menguji ketulusan hati,
sahabat menilai ikhlasnya budi, sahabat menyubur kasih yang bersemi,
carilah sahabat sejati, terbina ukhuwah, mendapat kasih Ilahi,
secebis kasih membuat kita sayang,
seucap janji membuat kita percaya,
sekecil luka membuat kita kecewa,
namun sebuah ukhwah selamanya bermakna.


Ukhwah adalah sesuatu yang manis untuk dirasai dan hidup terasa lengkap kerananya. Tapi itu hanyalah jika ukhuwah itu bersandarkan kepada Allah taala dan aqidah yang satu. Namun, ukhuwah yang manis bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai..Perlunya ada sikap berlapang dada antara satu sama lain dan peringkat ukhuwah yang paling tinggi ialah melebihkan sahabat itu daripada diri sendiri. Sudah tentu sesuatu yang susah bukan?

Ukhuwah Islamiyah adalah keterikatan hati jiwa satu sama lain dengan ikatan aqidah.
{As-syahid Imam Hassan Al-Banna}


Apabila hati kita meyakini hanya Allah yang berhak dan layak disembah, inshaAllah segala amal perbuatan kita adalah keranaNya...dan kerana itulah kita dapat merasai kemanisan ukhwah walaupun hanya pertama kali kita berjumpa... dan apabila ukhuwah ini mula terbina, kita akan sentiasa merasai bahawa adanya sahabat-sahabat yang saling memahami kita dan akan membimbing kita di kala kita `futur`,`terleka`atau`down`dalam usaha di jalanNya...


Sahabat,
Fitrah diri saya sebagai manusia..Kadang kala langkahan kaki saya juga bengkok. Jauh tersasar dari dari lorong betul. Apa yang saya harap di kala itu, kamu dapat menarik saya..kembali ke jalan yang lurus, jalan yang Allah redha. Kamu pun nak masuk syurga bukan? Saat saya terleka nanti, berilah peringatan kepada saya. Saya harap saat itu nanti, kamu juga dapat memandang saya dengan penuh kasih-sayang. Dengan penuh rasa berharap untuk melangkah ke syurga bersama-sama saya. Tolong jangan tinggalkan saya terumbang-ambing saat itu. Tolong betulkan saya,ya~!



Quoted:

"Sahabat."
"Janji pada aku 2 perkara"

"Pertama, ingatlah aku dalam setiap doamu."
"Kedua, kalau aku jatuh, hulurkanlah tanganmu kepadaku. Bila aku bengkok, kau luruskanlah aku.

"Sahabat."
"Jangan kau asingkan diriku daripada kehidupanmu."


Nyatakanlah rasa cinta kalian terhadap insan-insan yang kalian kasihi dalam ukhuwah yang telah terjalin. Tidak ada salahnya dengan cinta ini. Bahkan, ia akan lebih indah jika cinta itu lahir daripada cinta yang mendalam terhadap Rabbul ‘Izzati.

Di kalangan para sahabat,mereka sering mengungkapkan ‘Uhibbuka fillah’ (aku mencintaimu kerana Allah) untuk sesama lelaki dan ‘Uhibbuki fillah’ untuk sesama perempuan.

Apabila kita menerima ungkapan ini maka segeralah kita menjawab: ‘ahabbakallah lima ahbabtani iyyahu’ (semoga Allah mencintaimu disebabkan citamu padaku kerana Allah).

Jelaslah disini,cinta itu murni selagi mana kita arahkan ia ke jalan yang diredhai Allah S.W.T dan kerana cinta kita kepada-Nya.

Nah! Tunggu apa lagi? Lafazkanlah cinta dikalangan kita.Kerana itulah yang perlu subur didalam hati yang telah disatukan oleh kalimah syahadah ini.

Semoga amalan ini dapat dipraktikkan dan dipelopori didalam kehidupan kita sebagai seorang mu’min. Jangan biarkan cinta palsu ciptaan syaitan menguasai perasaan kita.

"Ya Allah, Engkau mengetahui bahwa hati-hati kami ini telah berkumpul di tempat ini karena mengasihi-MU; bertemu untuk memenuhi perintah-Mu; bersatu untuk memikul beban dakwah-Mu.
Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu. Maka eratkanlah ya Allah atas ikatannya, dan kekalkanlah kemesraan di antara hati-hati ini.Tunjukkan kepada hati-hati ini akan jalan-Mu yang haq.
Penuhkan hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung padam. Lapangkan hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidupkan hati ini dengan ma'rifat tentang-Mu. Dan jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-MU.
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong."

INNI UHIBBUKUM FILLAH~!


wallahua'lam..