Monday, August 30, 2010

Yosh, Fasa Terakhir~!

بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Alaykk~



Alhamdulillah, shukur kerana kita semua masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menjejakkan kaki di fasa ke-3 atau fasa terakhir Ramadhan ini. Fasa yang dikatakan untuk kita berpeluang bertemu dengan satu malam yang lebih baik dari dari seribu bulan iaitu Malam Lailatul Qadr..Namun, sempatkah diri kita ini untuk sampai ke penghujungnya, yakni yang benar-benar terakhir.. 30 Ramadhan?dan apakah musim depan kita masih berpeluang untuk masuk gelanggang ini lagi? Menikmati halawah Ramadhan bagi tahun 1432 H..Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan..



Walau Ramadhan sudah semakin ke akhirnya, namun sempat lagi nak kejar. Jangan putus asa. Jangan lemah semangat. Mantapkan keazaman, kuatkan fizikal~ Muhasabah diri kembali. Waktu untuk menilai keimanan dan kekuatan diri sendiri. Latihan di madrasah tarbiyyah untuk menundukkan nafsu. Kalau kita kalah dalam keadaan kita tanpa sebarang dugaan atau bisikan syaitan, di situ kita menilai diri kita yang sebenar. Kekuatan yang dibina daripada Ramadhan ini akan memberikan perubahan besar dalam diri kita.

Di fasa terakhir ini, tatkala diri dinilai kembali, adakah segala target yang kita ingin capai untuk Ramadhan tahun ini,1431H  telah tercapai.. ? beribadah dengan bersungguh-sungguh yang bukan sahaja di bulan ini tapi untuk di bawa ke 11 bulan berikutnya? menghabiskan setiap juzu’ al-Quran? Dan tak lupa kepada hablu minannas setelah hablu minallah..atau sekarang ini hati kita dan diri kita masih lagi sejuk membeku tanpa ada sebarang perubahan di dalam diri kerana merasakan usia kita masih lagi panjang dan mampu untuk bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya..astaghfirullah..’aku takut kalau-kalau aku termasuk di dalam golongan yang rugi itu!’

“Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! “ 
(HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

Sungguh aku bimbang..namun,berilah kami kekuatan ya Rabbul Izzati untuk kami terus beribadah dan menghidupkan saat-saat terakhir Ramadhan ini dan merebut Piala Taqwa itu..! tapi bukan sekadar bicara kosong..untuk memenangi Piala Taqwa itu, kena hidupkan malam dan siang dengan ibadah…

Ramadhan is the month of feeding not eating 
~Sheikh Muhammad Alshareef~

saya tidak mahu menyentuh panjang mengenai keistimewaan malam Lailatul Qadr kerana pelbagai sumber boleh diperolehi dengan cara yang mudah.,inshaAllah..Cuma sekadar ingin berkongsi dengan semua doa yang dianjurkan oleh Rasullullah
setelah menjelangnya 10 Ramadhan yang terakhir…

أَللّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنّيْ
(Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku)

[HR Tirmidzi no.3513, Ibnu Majah no.3850]


Why do we make this du`a’ during the last 10 nights? Para scholars mengatakan jikalau doa ini dijawab oleh Allah, inshaAllah segala dosa kita akan diampunkan oleh Allah tatkala menjelangnya Hari Kemudian itu nanti..biiznillah..Ramadan is the month of mercy and forgiveness, so how successful will we be if we not only have our sins forgiven but also have them completely erased!

Selamat menempuh Fasa Terakhir ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan~! Moga diterima segala amalan dan diampunkan segala kekhilafan..carilah DIA di hatimu..jangan terus merugi…yosh~!

'Pelari yang berjaya pasti meningkatkan kualiti pecutannya di separuh akhir trek..lebih2 lagi bila menghampiri garisan penamat..selamat berlari sepenuh jiwa untuk Ramadhan yg berbaki Hajar! '
[F.W]





Fast your entire lifetime.
Make death your ‘Eid!
Life itself is a fast for the righteous.
Their fast is from all forbidden lusts.
When death comes to them their fast has ended.
At that time they find the new moon of ‘Eid.


ps; bagi mereka yang membaca cerpen Hatiku Milikmu, bahagian yang seterusnya akan disambung di kesempatan masa yang lain..inshaAllah.. :)



Hatiku Milikmu - [4]

بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Alaykk~

Asiah Yusro melihat kejadian itu. Dia bergegas menghampiri Maziah.

"Sabarlah Maziah, Allah tahu nti adik- beradik,"

"Manusia memang macam tu, bila timbul rasa dendam dan cemburu tak bertempat, dia mula lah nak lakukan perkara tak baik pada orang lain," luah Maziah dengan gelagat Fathil, rakan sekelas yang sering mengganggunya saban hari.

"Maziah, pandanglah semua orang dari kacamata dakwah. Kasihan lelaki tadi, mungkin niat dia ikhlas nak mencegah mungkar di depan matanya tapi kurang teliti dengan tindakannya. Lagipun, kedudukan Maziah dan abang Maziah tadi Maziah dan abang Maziah tadi memang boleh menimbulkan prasangka, betul tak ?" Maziah mengangguk.

"Kita doakanlah agar orang sepertinya akan mengenal tarbiyyah dan da'wah bil hikmah dengan izin Allah," Kata-kata Asiah Yusro menenangkan hati Maziah. Dia berzikir memuji Allah.



Banna datang menghampiri adiknya.

"Maziah, kita beristighfarlah atas kejadian tadi. Mungkin silap kita juga. Semuanya kerana salah faham," Banna mengingatkan adiknya. Maziah tersenyum. Begitu juga Asiah Yusro.

"Insyallah, bang! Err, abang...dia lah yang menghantar kad biru tu. Maziah ada mendengar abang panggil nama dia tadi, abang dah kenal dia, ya?!" Tanya Maziah.

"Dia roommate Umar Al-Mujahid, bekas ketua pengawas sekolah kita dulu. Abang selalu ziarah biliknya," Banna menerangkan. Di Taman Islam, siapa yang tak mengenal Umar Al-Mujahid.

"Oh, ingat tak peristiwa kat bus stop tu? Rasanya, Umar lah yang membonceng motor dia?" Maziah memandang Asiah Yusro. Asiah Yusro berfikir sesuatu. Hatinya resah mendengar nama Umar Al-Mujahid.

(Apa khabar dia sekarang? Masihkah dia seperti dulu? Hebat dengan tarbiyyah dan da'wah...). Tak lama kemudian, Asiah Yusro bersuara,

"Ana pun rasa begitu. Bersyukurlah kalau lelaki tadi sebilik dengan Umar. Mudah-mudahan Umar boleh membimbingnya mengenal tarbiyyah dan da'wah,"

Banna terdiam dengan kata-kata itu.

(Alangkah bagusnya kalau begitu. Tapi, aku takut si Fathil pula yang membimbing Umar agar lari dari hidayah Allah. Na'uzubillah. Astargfirullah, sangka tak baik kat orang pulak aku ni. Astargfirullah)



Fathil masuk ke bilik dengan nafas kencang berombak di dada. Dipecat baju lalu dihempas kasar ke katil. Sejurus kemudian, dia merebahkan badan.

"Kenapa kau ni, Fathil? Masih gagal tackle Maziah ke?" tanya Umar yang sejak tadi memerhati. Umar baru sahaja selesai berbalas-balas sms dengan Fika.

"Aku bengang betul lah!"

"Bengang apa?"

"Maziah dating depan aku tadi lepas sesuka hati dia je koyak kad yang aku bagi. Siapa tak bengang?"

"Orang dah ada pak we, cari lain je...."

"Huh, tak semudah tu! Ni Fathil...dia belum kenal lagi siapa Fathil!"

"Kau nak buat apa?"Umar ingin tahu.

"Aku nak belasah dia malam ni. Kalau kau kawan aku, kau kena ikut aku,"

"Belasah perempuan?" (Gila!) bentak hati Umar.

"Bodoh! Belasah pak we dia lah..."

"Eh, kau biar betul! Takkan sampai nak belasah orang,"

"Kau memang penakut lah Umar. Benci! Bukannya aku nak belasah betul-betul. Takut-takutkan je. Joe pun ikut sekali, tak penakut macam kau! Kau bayangkanlah, dia sanggup rampas mak we aku dan sengaja ajak dating depan mata aku. Anak jantan mana tak tercabar? "

"Bila masa kau berjaya jadikan Maziah awek kau? Orang rampas awek kau atau kau yang rampas awek orang?" Umar tahu Fathil tak pernah berjaya tackle Maziah.

" Kau tahu apa Umar?! Tu lah…asyik gila bersms je. Kau kena ingat, kau dapat Fika pun sebab aku. Apa perasaan kau kalau aku nak berbaik balik ngan Fika dan ajak dia bermadu asmara depan mata kau?"

Umar akhirnya mengalah.



"Hah, tu dia! Kau sedia Joe, kau masuk dulu," Fathil menunding jari tepat ke arah Banna yang baru sahaja keluar dari kolejnya menuju ke kafetaria. Wajah Banna agak samar dalam cahaya neon yang kurang terang. Fathil, Umar dan Joe bersembunyi di sebalik sebatang pokok pinang kota. Tatkala Banna melewati kawasan yang agak gelap itu, Joe menerajang Banna dari belakang sekuat hati. Tenaganya difokus padu kepada kaki. Banna jatuh terpelanting beberapa meter ke tanah. Mukanya tersembam ke batu sehingga hidungnya berdarah. Gigi taringnya hampir tercabut.Umar masuk menyerang dengan menyiku belakang Banna beberapa kali. Banna masih tersemban di situ. Dia menarik kolar baju Banna untuk membuat pukulan seterusnya namun langkahnya mati serta-merta tatkala terpandang wajah lelaki itu.

Banna dan Umar saling berpandangan. Tangan kiri Umar masih kemas menggengam kolar baju Banna dan tangan kanannya menggumpal penumbuk. Perlahan-lahan Banna melepaskan gengaman dan meleraikan penumbuknya. Umar menghulurkan tangan, membantu Banna untuk bangun. Banna menyambut dan bangun membersihkan debu-debu tanah di badannya.

(Kau Banna? Ah...kasihan kau!) kesal hati Umar.



"Cis, mampuslah korang berdua!" Fathil meradang melihat drama itu lalu cuba menyerang Umar dan Banna serentak. Umar bertindak pantas mematahkan serangan Fathil dengan menggunakan ilmu taekwando yang dimiliki. Fathil sempat membuka beberapa langkah silat tempang dan membuat tumbukan tepat sebelum serangannya dipatahkan. Joe pula masuk membantu tetapi silatnya juga berjaya dipatahkan oleh Banna walaupun sudah tercedera. Banna gagah dan tegap orangnya. Kalau tidak dipukul curi sebentar tadi, mungkin mereka tak berpeluang mencederakannya.

"Woii!!" seorang Pak Guard yang kebetulan meronda menjerkah mereka. Cahaya lampu picitnya yang terang meyuluh satu persatu wajah-wajah pelajar di hadapannya. Dia sudah berada terlalu dekat dengan mereka.

(Tiada harapan untuk lari) dengus Joe.

"Woii. Korang gaduh ye?"

"Tak, kami berlatih taekwando!"Fathil berdalih.

"Berlatih taekwando? Takkan sampai berdarah-darah cam ni?" Pak Guard menyuluh tepat ke arah Banna. Hidung dan mulutnya berdarah. Gigi taringnya yang longgar akibat tersemban ke batu, kini sudah tercabut kerana terkena penumbuk Joe.

"A'ah. Kami ada perlawanan minggu depan. Terpaksa berlatih kat kolej," tambah Joe.

"Jangan nak berdalih. Aku dah masak dengan perangai student. Tak de orang yang berlatih sampai berdarah cam ni," Pak Guard masih curiga lantaran melihat darah yang makin membuak-buak keluar dari hidung Banna. Begitu juga mulutnya.

"Betul Pak cik. Saya berdarah sebab tersembam ke batu tadi. Tak sengaja,"Banna pun terpaksa berbohong untuk meredakan keadaan yang menjadi semakin tegang.Bukan bohong tapi helah.

"Lain kali, kalau nak berlatih pun, pergilah dekat court . Yang korang berlatih dalam gelap tepi batu-batu kerikil ni, saper suruh? Sudah, aku tak nak tengok korang berlatih kat sini lagi. Cari tempat lain!" Pak Guard meyakini kata-kata Banna lalu minta mereka segera bersurai.



"Kau ingat, kau tunjuk baik, aku boleh maafkan kau?" api kemarahan Fathil masih menyala-nyala terhadap Banna. Telunjuknya tepat dihala ke arah batang hidung Banna. Ketika itu Pak Guard sudah pun berlalu pergi.

"Woii, Fathil! Kenapa kau tak cakap awal-awal kau nak belasah kawan aku, hah?" Umar menengking Fathil. Joe sedang mengurut-ngurut lengannya yang sakit dipulas Banna sebentar tadi.

"Kau ingat aku ni bodoh sangat nak bagitahu kau? Mesti kau tolak awal-awal. Aku nak kau nampak sendiri, kawan kau yang tak guna ni lah rampas mak we aku. Pas tu dating depan orang ramai, buat maksiat!"

Umar terdiam. Dia memandang Banna seketika. Dia teringat Banna ada mengatakan bahawa dia ingin berjumpa adik kembarnya ketika akhir pertemuan mereka petang tadi.

(Patutlah first time aku tengok Maziah, aku rasa aku pernah nampak dia. Baru aku perasan, wajahnya memang mirip wajah Banna)

"Fathil, awak salah faham.." Banna bersuara, cuba menjelaskan keadaan. Fathil segera memotong.

"Aku tak nak dengar apa-apa dari orang hipokrit macam kau! Maziah tu mak we aku, kalau aku nampak korang berdua-duaan lagi sekali, aku takkan serik belasah kau,"

"Bodoh! Memang kau salah faham..." Umar menengking lagi. Dia tak dapat menahan kemarahannya. Kalau dikutkan hati, mahu sahaja dia meramas-ramas mulut celupar Fathil yang menuduh Banna bukan-bukan.

"Salah faham apa? Aku tengok depan mata kepala aku sendiri..." Fathil menguatkan kenyataannya.

"Aku pun tengok!"tambah Joe.

"Kau pun sama bodoh! Buat malu je! Tu adik kembar dia lah, bukan mak we!" Umar meyakini Banna memang mempunyai adik kembar walaupun tak pernah mengenali kembar Banna sebelum ini. Banna adalah sahabat yang terlalu dipercayainya. Fathil terdiam kaku dengan keterangan itu. Merah padam mukanya.

(Aku belasah bakal abang ipar aku sendiri?)



Dari jauh Pak Guard tadi melihat mereka masih belum bersurai malah bertikam lidah pula. Dia menghidupkan motorsikalnya untuk meronda ke sana lagi sekali.

"Anggaplah tak de apa-apa yang berlaku. Saya minta maaf. Semuanya kerana salah faham bukan salah sesiapa,"ujar Banna dengan lembut sambil menghulurkan tangannya.

(Uih, makhluk jenis apa yang baik sangat ni?) Malu sendiri Fathil dibuatnya. Dia tidak menyambut salam itu kerana terlalu malu. Dia menumbuk ringan bahu Joe untuk mengajaknya beredar. Pak Guard yang semakin hampir membatalkan niatnya menegur tatkala melihat adegan Banna menghulur tangan, kemudian Fathil dan Joe mula beredar.

"Tadi, berlatih taekwando. Ni berlatih teater pulak ke?" sempat Pak Guard menyindir sambil berlalu pergi.



Umar merenung wajah Banna.

"Banna, cedera nta teruk ke?"

"Sikit je," balas Banna, masih mampu mengukir senyuman.

"Nta tak patut minta maaf dari Fathil. Bukan salah nta pun. Fathil tu yang memandai kata Maziah awek dia. Dia memang macam tu, kalau dah syok kat perempuan, memang dia usahakan jugak sampai dapat,"

"Lupakanlah...Sebenarnya, Maziah tu dah ada orang masuk. Ana harap nta boleh bagitahu Fathil hal ni,"

" Insyaallah.Ana minta maaf. Ana betul-betul tak tahu mereka nak belasah nta tadi,"Umar dihantui rasa bersalah apatah lagi melihat sahabatnya berdarah.

"Tak per, Umar. Lupakan....Nta juga yang tolong ana tadi. Terima- kasih! Moga Allah yang dapat membalasnya. Tapi, ana harap nta akan mengambil pengajaran. Belasah orang bukan cara untuk menyelesaikan masalah. Silap haribulan, boleh kena buang universiti. Kita kena berfikir panjang sebelum bertindak. Hari ni, ana, kawan nta sendiri yang nta belasah. Esok lusa, kalau nta belasah orang lain pun, dia juga adalah kawan kepada seseorang, anak lelaki kepada seseorang dan abang kepada seseorang. Fikirkan berapa manusia yang membenci dan tak meredhai nta kalau nta membelasah seseorang!!" Kata-kata Banna membuatkan Umar terfikir.

"Banna, ana minta maaf!" Umar memeluk Banna. Handsetnya berirama sekaligus meleraikan pelukannya. Ada mesej yang diterima.




Bang Umar sayang, esok kita jumpa kat PWTC, jangan lupa pulak! Fika dah tak tahan ni. Rasa rindu sangat kat abang. Hidup Fika betul-betul jadi gila tak menentu, asyik ingatkan abang je! Esok ye sayang...luv U!!



Umar serba-salah selepas membaca mesej itu. Wajah Hanif, Syamil, Hizbi, Faizi dan Dr. Azmin seakan-akan terpancar dari anak mata Banna, mereka seolah-olah sedang melambai-lambai mengajaknya ke smart group pada petang esok. Umar membaca mesej Fika sekali lagi. Dia tewas dengan kuasa cinta Nur Syafika.

"Banna, esok jangan lupa kirimkan salam ana kat semua. Ana betul-betul tak boleh pergi smart group,"

"Baiklah, ana tak berhak paksa nta. Ana cuma mampu mengajak. Ana doakan, Allah permudahkan urusan nta untuk siapkan assignment nta,. Kalau sempat siap, nta datanglah. Kejap pun tak per," balas Banna. Mengharap.



Fika tidak putus-putus mengukir senyuman. Wajah kacak Umar Al-Mujahid benar-benar membuatkan dia berasa bangga dapat berjalan di sisinya. Matanya sentiasa menjeling manja menatap wajah pemuda itu. Dia cuba memasukkan jejari halusnya di celah jejari Umar namun ditepis oleh Umar. Suasana di tepi tasik PWTC begitu romantis dirasakan.

"Kita tak boleh bersentuhan lagi, berdosa!" iman di dada Umar bersuara. Fika mencebikkan bibir.

"Alah, pegang tangan je, bukan buat apa-apa yang tak senonoh. Fika kan sayang abang. Nanti, Fika jadi milik abang juga. Apa salahnya Fika nak bermanja sikit dengan abang,"Fika bersuara manja. Gerak badanya melentok ke sana- sini kerana cuba menggoda Umar. Umar terdiam. Gurlp!! Tersirap darah mudanya.Perlahan-lahan, tangannya dibiarkan berada dalam genggaman Fika.



Fika puas kerana tindakannya tidak dihalang lagi. Direbahkan pula kepalanya ke bahu Umar.

"Abang Umar sayang, Fika nak tunjuk sesuatu pada abang, tapi Fika takut abang marah Fika,"

"Tunjuk apa?"

"Abang kena janji takkan marah?"

"Kenapa abang nak marah pulak?"

"Janjilah dulu sayang..."

"Okey,abang janji takkan marah Fika,"

Fika tersenyum. Dia membuka selendangnya di hadapan Umar. Kacamata hitam yang dipakai turut dipecat seketika. Umar kelu tak terkata apa-apa.

"Fika nak tunjuk rambut Fika, baru buat teknik rebonding. Lurus tak rambut Fika? Abang suka tak?"

Gurlp! "Fika, pakai balik tudung tu!" arah Umar.

"Kenapa? Abang tak suka rambut Fika ke?" Fika bersuara merajuk.

"Err, suka. Tapi, perempuan tak boleh tunjuk rambut dia pada lelaki. Berdosa!"

"Alah, Fika tunjuk pun pada bakal suami Fika juga. Inilah tanda sayang Fika pada abang. Fika memang terlalu sayang kat abang. Salah ke Fika nak bahagiakan abang? Abang tu sepatutnya hargai pengorbanan Fika. Abang ingat, buat teknik rebonding ni murah ke? Fika bazirkan duit Fika untuk abang. Fika nak kelihatan cantik pun semata-mata untuk abang. Ini bukti cinta Fika, bang! Tulus cinta Fika pada abang..." Umar makin lemas dihambur kata-kata manis Fika.Matanya dikaburi warna-warni pelangi yang indah dalam dunia cinta ciptaan syaitan. Imannya direntap-rentap dan ditusuk-tusuk oleh kata-kata Fika. Tangannya mula diangkat berani memeluk bahu Fika. Matanya dipejamkan agar mindanya boleh terbang menyahut khayalan dunia cinta Nur Syafika.



"Sejauh mana pun kita bersembunyi, Allah tetap nampak kita,"ungkapan kata-kata Dr. Azmin tiba-tiba terngiang-ngiang di minda Umar. Imannya berbisik lagi, masih tidak mahu tewas melawan bisikan syaitan.

Serentak dengan itu, Umar membuka matanya, terbit rasa berdosa. Dia memandang sekeliling dan mula terperasan bahawa ada sekumpulan pemuda sedang berkumpul di tepi tasik dengan posisi yang sangat hampir dengan posisinya. Mereka sedang rancak berbincang sesuatu. Umar menjeling sekilas pandang.

"Gurlp! Diorang?" Dada Umar berombak kencang tatkala melihat Banna, Hanif, Hizbi, Syamil, Faizi dan Dr Azmin sedang mengadakan smart group di situ.



Umar menolak Fika dari pelukannya. Dia mencapai selendang Fika lalu memakainya. Kacamata hitam milik Fika turut dipakainya. Fika hairan melihat tindakan Umar disusuli ketawa manja. Dia menyangka Umar sedang berlawak untuknya.

"Kenapa abang pakai selendang Fika? Luculah abang ni!" Fika mencubit paha Umar.

"Fika, apa yang kita buat ni berdosa!" Umar bersuara tegas menyebabkan Fika mengkeriukkan dahinya. Umar semakin diburu rasa bersalah tatkala melihat sahabat-sahabatnya.

(Ya Allah, aku harap mereka tak nampak aku!) hati Umar menaruh harapan. Dia tidak sedar bahawa sahabat-sahabatnya sudah sekian lama memerhati gelagat mereka berdua.

"Tapi...ini bukti cinta kita, bang! Fika bahagia dalam pelukan abang. Fika sayang abang,"

"Mampuslah dengan cinta! Nak kena tangkap basah?" Umar tiba-tiba meradang. Jiwanya takut sekali.

"Jom balik!" Umar mengajak pulang.

"Abang, Fika tak fahamlah! Kenapa tiba-tiba nak ajak balik? Fika belum puas lagi bersama abang!"wajah Fika penuh keliru.

"Fika ada sakitkan hati abang ke? Kalau ada, tegurlah Fika, jangan buat Fika tertanya-tanya macam ni. Fika tak nak kehilangan abang sebagaimana Fathil tinggalkan Fika. Fika sayang abang!"


"Abang nak balik..." Umar berdiri lalu berjalan meninggalkan Fika.

"Abang Umar, pulangkan tudung Fika!" Fika menjerit kuat membuatkan semua sahabat-sahabat Umar berpaling ke arah Umar. Umar turut terhenti langkahnya dan memandang sahabat-sahabatnya. Mata mereka bertembung.

Hanif tiba-tiba tergelak kuat melihat keadaan Umar yang cuba menyembunyikan dirinya dengan memakai selendang perempuan. Dr Azmin menyiku Hanif. Hanif tunduk terdiam. Umar membuka selendang yang dipakainya. Dicampak ke lantai. Air mata lelakinya bergenang. Ditahan sekuat hati agar tidak tumpah. Sahabat-sahabatnya datang menghampiri. Fika berdebar melihat lelaki-lelaki itu lalu diambil selendangnya sambil cepat-cepat berlalu pergi.

(Pegawai pencegah maksiat ke ni? Baik aku lari. Padan muka kau, Umar. Kau hadapilah seorang diri!)






Enhanced by Zemanta

Saturday, August 28, 2010

Hatiku Milikmu - [3]

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Alaykk~

"Umar, kat Taman Islam dulu, nta Ketua Pengawas yang sangat ana kagumi. Ana masih ingat lagi kata-kata nta dulu….. diri kita ibarat cawan. Kalau kita tak tuang di dalam cawan dengan air, molekul-molekul angin akan masuk. Begitulah juga diri kita, kalau kita tak tuang dengan ilmu dan iman, anasir-anasir lain akan masuk. Kita hajat kepada tarbiyyah untuk mengisi diri kita dengan bekalan iman agar hidayah Allah kekal dan tak hilang dalam hati. Kita terlalu hajat pada hidayah Allah," Banna menyambung lagi,


"Umar, ke mana pun kita lari dan pergi, kita akan kembali kepada Allah. Kita tak boleh sombong dengan Allah. Allah boleh menapis diri kita daripada mendapat hidayah-Nya bila-bila masa saja, sebab tu lah kita perlu bersyukur dengan hidayah Allah dan perlu berusaha mengekalkannya. Allah dah tunjukkan jalan yang terbaik untuk kita, kenapa kita nak sia-siakannya?"

"Ahh, jangan ulang ucapan tu lagi. Ana bosan mendengarnya," jiwa Umar gersang. Sudah lama tak disirami hujan iman.

(Itu dulu. Apa yang aku dapat dari semua tu? Kerana semua tu lah, aku mengenali Asiah Yusro, lantas sejak itulah perasaanku terseksa. Aku juga tahu, kerana semua tu lah Asiah Yusro tak membalas cintaku. Semua tulah yang merampas Asiah Yusro dariku. Aku benci!!!)

"Umar, jangan cuba lari dari hidayah Allah. Fikirkanlah, sampai bila nta nak berkrisis dengan Allah macam ni? Hidup ini takkan selamanya begini. Kita akan mati berjumpa Allah. Nta nak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi?" Banna tidak jemu melembutkan hati Umar. Banna terdiam.

(Ahhhhhhhhh....bosannya!!! Tapi, betul juga cakap Banna)

"Ana tak sekuat nta, Banna. Ana futur, tak larat nak bangun balik. Nantilah,esok kalau ada masa ana datang smart group," jiwa Umar terusik. Banna tersenyum. Air liurnya tak terbuang sia-sia.

"Ana akan tunggu nta.Bukan ana je, tapi kami semua akan tunggu nta. Ingat, sahabat-sahabat kita rindukan nta, terutamanya mas'ul kita, Dr Azmin,"


Irama handset Umar berbunyi. Umar nampak gugup.

"Hello, err, nanti abang telefon kemudian. Abang ada tetamu ni..." Umar menjawab panggilan dengan ringkas. Banna faham lalu meminta diri.

"Tak per lah Umar, ana pergi dulu. Nak jumpa adik kembar ana kat stall jap, Assalamualaikum. Jumpa lagi," Banna bangun beredar. Umar membalas salam. Selang seketika,handsetnya berbunyi lagi. Umar menjawab panggilan itu dengan suara lembut. Banna menjeling.

(Adik dia kot...)hati Banna cuba berbaik sangka. Namun, otaknya ligat berfikir sesuatu. Basah di ingatannya mesej yang sempat dicuri-curi baca sebentar tadi, lalu dia membuat satu sms.



Assalamualaikum. Smart Group bertukar venue di PWTC, kul 5.30 ptg esok.



Banna melangkah ke gerai yang berderet-deret tersusun berhampiran dewan besar universiti sempena Mujahidah Week. Dia mencari gerai kepunyaan Kelab Penulisan. Adik kembarnya berniaga di situ. Dari jauh, Banna melihat adiknya Maziah bersama Asiah Yusro, teman baik adiknya sedang sibuk menyusun buku-buku di gerai mereka.

(Ish, Asiah Yusro pun ada?! Seganlah....)hati Banna berbisik. Dia mengakui hatinya resah tiapkali terpandang Asiah Yusro, mawar mujahidah acuan Sekolah Taman Islam yang sangat dihormati kerana ketokohannya dalam tarbiyyah dan da'wah. Lantaran itu, hatinya akan segera beristighfar. Dia tidak mahu jiwanya dibiarkan parah dibaham mazmumah.



Banna memberanikan jua kakinya melangkah mendekati gerai Kelab Penulisan.

"Assalamualaikum. Maziah, abang nak jumpa, jap," Banna mengajak adiknya beredar sedikit daripada gerai itu. Maziah meminta izin daripada Asiah Yusro. Asiah Yusro mengangguk lembut sambil mengukir senyuman. Sebelum beredar bersama abangnya, Maziah sempat mengambil cebisan-cebisan kertas berwarna biru yang baru dikoyak dari dalam lipatan sebuah buku.

"Kertas apa tu?" Banna menjeling.

"Tadi, ada sorang classmate Maziah bagi. Geli Maziah membaca ayat-ayat yang ditulis lalu dengan spontan tangan Maziah mengoyaknya. Maaf, tak sempat nak tunjuk kat abang.." Maziah meyerahkan cebisan-cebisan kertas itu ke tangan abangnya. Banna menyambut lalu membelek-belek.
"Lelaki ke?"

"Kalau perempuan, Maziah tak kan buat macam ni, bang..."

"Hidup remaja memang terlalu mencabar. Dugaan cinta macam ni akan datang silih berganti. Sebab tu lah kita hajat sangat pada tarbiyyah agar kita tak hanyut nanti...."nasihat seorang abang.

"Abang doakanlah selalu untuk Maziah ye. Hidayah tu milik Allah...Maziah takut hidayah tu hilang dari diri Maziah jika tergoda dengan ujian ni. Allah tak perlukan Maziah tapi Maziah memang terlalu memerlukan hidayah-Nya untuk selamat di dunia dan akhirat. Kalau kita tak jaga hidayah Allah, ia boleh pergi meninggalkan kita, kan bang?!"

(Syukurlah Allah masih memberi kesedaran ini kepada adikku. Wanita yang ditarbiyyah adalah sebaik-baik nikmat di dunia ini)

"Mmm.Sama-samalah kita berdoa..." Banna mengangguk setuju.



"Kau tengok tu! Patutlah dia koyak senang-senang je kad yang aku beli mahal-mahal, rupa-rupanya dah ada pak we," bentak Fathil yang berada selang beberapa gerai dari kedudukan Maziah dan abangnya.

"A'ah lah Fathil. Eh, eh, dia tunjuk kat pak we dia pulak kad kau tu. Aku rasa, tentu pak we dia tengah hina kau teruk-teruk. Melampau diorang ni, Fathil," tambah Joe.

"Dating depan orang ramai pulak tu," darah Fathil mendidih.

"Nampak je baik, tapi spesis Fika jugak ni. Yang aku bengang sangat, aku kenal pak we dia tu,"gigi-gigi Fathil dicengkam kuat, bergemerincing.

"Siapa?"

"Kawan roommate aku. Banna namanya. Ingatkan dia budak waro', tapi sama setan cam aku je. Maziah tu pulak memang sengaja dating depan aku, nak sakitkan hati aku lah tu,"

"Fathil, kau tengok je awek kau kena kebas depan mata? Kalau aku, aku takkan biarkan budak tu. Kena bagi penangan skit."

"Aku ni pantang dicabar, Joe. Aku tengah mendidih ni. Dah lah aku meluat ngan Fika ramai boyfriend, baru nak pikat perempuan baik, begini pulak jadinya. Kalau nak bagi penangan, bukan setakat Banna, Maziah dan Fika pun aku nak ajar sekali,"

"Aku tahu kalau Fathil yang cakap memang dia buat," Joe makin mengapi-apikan kemarahan Fathil.

"Joe,malam ni kau dan Umar ikut aku belasah Banna, nak?"

"Malam ni? Kenapa lambat sangat...sekarang ni pun dah boleh belasah ngan mulut. Semburlah pedas-pedas skit kat diorang yang tengah berasmara tu,"

Fathil makin terbakar dengan hasutan Joe.



"Maziah, tahu tak ziarah keluarga Hanif pada cuti semester lepas tu ada makna?"

"Hanif mana ni bang?"

"Alah, Hanif...kawan abang yang hitam manis tu. Dia tak de rupa sangat tapi agamanya, insyallah."

"Oh, yang ada bersama abang ketika kita jumpa hari tu?! Dia dari Sekolah Taman Islam jugak ke, bang?" Pergaulan yang terbatas di sekolah itu menyebabkan pelajar perempuannya kurang mengenali pelajar lelaki. Begitulah sebaliknya.

"Takk, dia sekolah biasa je. Tapi aktif ikut tarbiyyah kat sini. Dia dalam smart group yang sama dengan abang.,"

"Maziah ingat....zaman kecil-kecil dulu, keluarganya selalu ziarah rumah kita. Tapi, bila dah besar macam ni dia jarang ikut keluarganya ziarah. Dia tu nakal masa kecil dulu,kan abang? Maziah cukup tak suka kat dia dulu. Dia selalu ejek Maziah macam-macam,"

"Alah, masa kecil semua orang nakal. Perempuan biasanya baik sikit lah. Kalau kita tahu kelemahan seseorang, kita kena ingat, no body is perfect. Kita pun ada kelemahan. Membetulkan adalah tanggungjawab kita. Maziah macam mana sekarang ni? Boleh terima ke kalau keluarga Hanif masuk meminang?"

"Sebenarnya, Maziah dah fikirkan semua ni. Umi dah bagitahu Maziah awal-awal lagi. Ibubapa Hanif betul-betul berharap. Maziah tak kisah siapa pun yang bakal jadi suami Maziah, asalkan fikrahnya jelas dan dia berada di atas jalan tarbiyyah dan da'wah. Maziah tak pernah pandang rupa atau kekayaan, Maziah hanya hajat pada agama dan bimbingannya,"

"Syukurlah, abang gembira dengan jawapan Maziah..."



Tiba-tiba....

"Ingatkan perempuan pakai tudung labuh tu baik, tapi tak sangka ala-ala setan jugak. Nak dating pun pergi tempat lain lah woiii...."laung Fathil dengan kuat ke arah Banna dan Maziah. Mereka terkejut. Beberapa orang pelajar yang lalu lalang memandang sinis ke arah mereka dengan kata-kata Fathil yang lantang itu. Banna cuba menjelaskan keadaaan. Dia menghampiri Fathil.

"Fathil...dengar sini..."

"Aku kenal kau. Hipokrit. Berlagak baik tapi sebenarnya setan...."

"Fathil..." Banna cuba bersuara lagi. Terhalang.

"Tak payah nak mengaku baik lagi. Sudah terang lagi bersuluh. Nak buat maksiat pun depan-depan orang. Buat malu nama universiti je," Fathil tidak mahu mendengar apa-apa penjelasan daripada Banna selepas memalukan mereka berdua di khalayak ramai. Dia puas lalu meninggalkan mereka terpinga-pinga.

Friday, August 27, 2010

Hatiku Milikmu - [2]

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Alaykk~

"Umar, kau nak tengok persembahan teater, tak?" Fathil mengajak. Kepalanya ligat mengatur strategi untuk mempengaruhi Umar. Dia mesti bijak menjerat Umar agar dia boleh bebas daripada buruan Fika. Baru petang tadi dia diburu lagi oleh Fika dengan pelbagai pujuk rayu. Akhirnya dia menjanjikan sesuatu untuk Fika kerana dia tahu dia tak boleh bebas daripada gadis yang licik itu selagi Umar tak dijadikan penggantinya.

"Tak minat!" balas Umar. Ringkas.

"Cis, budak skema! Tak sporting lah kau ni... Jom lah Umar, aku bukannya ajak kau club in, tengok teater dalam universiti je. Lagipun, bukan ada apa-apa malam ni....bosanlah!"

"Aku tak nak!!" tegas Umar.

"Okey, kalau kau tak nak ikut, aku nak ubah plan pergi disco. Kau sanggup tengok kawan kau nak pergi tempat maksiat, Umar?"Fathil tahu kelemahan Umar, seterusnya cuba menjerat.

"Tapi...Hizbi, Banna, Hanif, Faizi dan Syamil nak datang malam ni..."

"Oh, kawan-kawan kau yang selalu datang tu. Baik aku chow cepat-cepat. Aku segan lah ngan diorang tu. Geng-geng malaikat tu, aku pulak geng setan. Ntah macam mana aku sebilik ngan kau sebab kau pun geng diorang jugak, kan?!"

"Diorang tu satu sekolah ngan aku dulu...Tapi Hanif ngan Faizi bukan! Mereka kawan baik aku,"

"Patutlah kau pun ala-ala malaikat skit. Tak sebulu ngan aku..."

"Hey Fathil, jangan kata cam tu! Aku pun gila-gila macam kau jugak tau. Ingat aku suka sangat diorang datang? Aku pun dah bosan dengan diorang. Asyik nak ajak aku pergi program agama je, ingat ni zaman sekolah dulu lagi agaknya,"

"Kau biar betul, Umar. Cakap bolehlah..." Fathil ragu-ragu.

"Okey, aku ikut kau pergi tengok teater!"

"Hah, macam tu lah kawan aku! Jangan pandai cakap je tapi kena tunjukkan. Macam ni lah yang aku nak..."



Fathil menghidupkan enjin motorsikal krissnya. Umar membonceng di belakang. Kepalanya asyik memikirkan pertemuan yang bakal diatur antara Umar dan Fika.

"Eh..eh.. Maziah lah!" Fathil tak menyangka terserempak dengan Maziah.

"Yang mana?"

"Tu, tu, baju putih..."

Umar berpaling ke belakang. Matanya liar meneliti gadis berbaju putih yang sedang menunggu di perhentian bas bersama beberapa orang kawannya. Kelajuan motorsikal yang dipandu oleh Fathil menyebabkan pandangannya mampu menatap wajah Maziah sekilas cuma.

"Nampak tak?" suara Fathil agak meninggi melawan frekuensi angin.

"Sikit-sikit je..kau bawa motor laju sangat,"balas Umar.

"Okey, aku pusing lagi sekali. Cam betul-betul tau..." Fathil bertindak seperti apa yang dikata. Sebaik sahaja melepasi perhentian bas itu, dia memperlahankan motorsikalnya sambil berteriak gatal,

"Maaaziaaahhhh.....!" Gadis itu memandang tepat. Kawan-kawannya juga turut memandang. Panahan matanya tembus ke hati Fathil hinggakan motorsikal yang dipandunya hampir hilang kawalan. Nasib baik sempat cover.

(Boleh tahan! Tapi, macam pernah nampak, di mana ya?) bisik Umar.

Umar cuba mengecam wajah Maziah sekali lagi. Matanya beralih fokus kepada seseorang.

(Eh, Asiah Yusro?!)Dia terperanjat melihat gadis yang berada di tepi Maziah ialah Asiah Yusro, gadis pujaan hatinya.

(Alamak, mesti Asiah Yusro terkejut tengok aku naik motor dengan budak gila-gila macam Fathil ni. Mesti dia sangka aku tak thiqoh lagi. Ahh,..biarkan. Boleh blah lah Asiah Yusro dengan thiqoh kau tu...kaulah wanita paling kejam. Bertahun-tahun kau buat jiwa aku terseksa!)



Fathil mencari tempat parking berhampiran dewan besar universiti. Kakinya pantas menyusun rentak ke dewan, diiringi oleh Umar.

"Lawa si Maziah, kan?!"

"Kau memang...cari orang lawa je!"

"Kau tahu ape! Maziah tu bukan saje lawa tapi baik, tau!"

"Buktinya?"

"Ntah?! Aku tengok dia pandai bawa diri. Nampak terjaga..."

"Perasaan kau je tu!Aku rasa perempuan macam tu berpotensi besar buat jiwa kau terseksa," Umar belajar daripada pengalaman.

"Orang tak de mak we cam tu lah! Mana kau tahu tengok perempuan,"

"Kau jangan cabar aku, Fathil. Tengoklah nanti, dalam masa sesaat pun aku boleh cari mak we,"

Pap! Satu tumbukan lembut singgah di bahu Fathil. Seorang gadis berwajah jelita, beraksi menggoda sedang menarik muka masam.

"Fathil nak nyorok dari Fika, ye?!" marah gadis itu. Comel.

(Fika?! Gurlp!!)

"Umar, kau bertuah malam ni....memang sesaat pun!" Fathil separuh berbisik. Umar kehairanan dan cuba mentafsirkan kata-kata itu.

"Err, tak de lah Fika. Fathil sebenarnya puas cari pengganti untuk Fika. Bukan Fathil tak suka Fika, tapi Fathil rasa ada orang yang lebih baik untuk Fika berbanding Fathil. Itu tanda sayang ikhlas Fathil pada Fika. Kenalkan ni Umar Al-Mujahid. Dia boleh jadi pak we baru Fika,"pandai Fathil menyusun ayat. Dia memang mahir bertanam tebu di pinggir bibir. Hatinya melonjak-lonjak riang kerana boleh bebas daripada perempuan yang dianggap merimaskan ini. Lagipun dia tahu, memang itu yang Fika inginkan. Fika tentu gembira melihat lelaki misteri yang membonceng motornya tempoh hari, kini ada di depan matanya.



Umar dan Fika saling berpandangan. Umar lemas dengan renungan tajam gadis itu. Dia makin tenggelam dengan senyuman manis yang mula berkuntum dari bibir mungil bak limau seulas, merah bak delima merekah.

(Cunnya Fika!) terbeliak mata Umar.

(Wow, 10 kali ganda lagi hensem dari Fathil! Macam Hritik Roshan..) Fika pun turut terpegun dengan ketampanan Umar.

Hidup Umar makin terawang-awangan dibuai bayangan Fika. Si gadis jelita. Teknologi sms 'dimanfaatkan' sepenuhnya sebagai penghubung saban hari. Kadang-kadang, sampai tak tidur malam mereka berbalas sms.

(Jiwa aku selalu resah. Ibarat makan tak kenyang, mandi tak basah. Inikah makna cinta? Ya, aku rasa, aku dah jatuh cinta!)

Kini, barulah Umar dapat merasai keseronokan memiliki seorang teman wanita sebagaimana yang sering diceritakan oleh Fathil. Memang seronok! Umar tak mampu lagi menongkah arus di lautan cinta remaja yang menipu daya. Dia membiarkan dirinya terus dan terus hanyut dipukul badai cinta yang kian bergelora. Cinta yang terumbang-ambing di samudera luas dan tak tertinjau tepiannya. Kini, malamnya ditemani mimpi-mimpi indah,siangnya teruja dek warna-warni cinta. Cinta itu indah.

(Fika, kau istimewa! Bagiku, kaulah penyingkap makna cinta di hati ini.... Fika, bayanganmu sentiasa menemaniku. Fika, hatiku milikmu! Oh, Fika...)



Tok!Tok! Assalamualaikum....

Kebetulan, Fathil hendak membuka pintu untuk keluar tatkala pintu biliknya diketuk.

"Umar ada?" seraut wajah bersih seorang lelaki tercegat di depan biliknya. Bibir lelaki itu menguntum senyuman. Tangannya dihulur untuk berjabat tangan dengan Fathil. Fathil menyambut salam dengan kekok.

"Saya Banna... Hassan Al-Banna," lelaki itu memperkenalkan diri.

"Kenal...selalu dah nampak muka kau tapi tak tahu nama. Kau duduk kolej sebelah, kan?!"

"Mmm...awak?"

"Aku Fathil,". Sejurus selepas itu Fathil melaung memanggil Umar.

"Umar, kawan kau datang!" Tiada laung balas. Senyap. Handset Fathil pula berirama minta diangkat.

"Hello, Joe! Dia masih ada kat stall tu? Aku nak pergi lah ni,". Fathil tergesa-gesa mengikat tali kasut.

"Umar tertidur, kot. Pergi lah jenguk dalam compartment dia tu!" Ujar Fathil kepada Banna. Banna mengangguk. Fathil meluru keluar sebaik sahaja tali kasutnya kemas diikat.



Banna masuk ke compartment Umar. Dia sedang nyenyak tidur. Tidur petang. Di dalam genggamannya yang terbuka, Banna menjeling kepada satu mesej yang tertera di skrin handset.



Bang Umar, takkan asyik sms je. Petang esok kita jumpa kat PWTC nak? Bolehlah bang...plizzzzzz....luv u!!! Fika saaaaaayang abang. Ummmwahhh!


Banna terkejut membaca mesej itu. Dikelip-kelipkan matanya bagaikan tidak percaya.

(Umar sedang bercinta?) hatinya sukar menerima.

Selang seketika, pintu bilik itu dikuak orang. Fathil masuk tergesa-gesa tanpa membuka kasut. Dia mengambil sekeping kad bersampul biru muda.

(Tertinggal agaknya...)Banna memandang Fathil dengan senyuman.

"Dia tak bangun lagi ke?" Fathil sempat menjenguk Banna di dalam compartment Umar.

"Emm..tak lagi!" balas Banna masih tersenyum. Fathil mendengus lalu menggoyang-goyangkan bahu Umar.

"Woii, bangunlah...kawan kau datang ni!" tengking Fathil. Umar menggosok-gosokkan mata. Dia menatap paparan mesej di skrin handset seketika, kemudian pantas menutupnya.

"Macam tu lah dia. Hari-hari main sms sampai tertidur. Aku nak ajak keluar pun susah sekarang ni," leter Fathil . Hati Banna makin curiga dengan Umar.

"Err, nak ke mana tu?" Banna sempat bertanya.

"Nak ke stall. Sekarang ni kan Mujahidah Week, bolehlah membeli sambil ngorat mujahidah..." Fathil ketawa berdekah-dekah dengan lawaknya. Banna turut tersenyum.

"Chow dulu..." Fathil melemparkan senyuman ramah.

(Bagus dia, mudah masuk ngan orang... hati Banna memuji Fathil.



Banna menerangkan kepada Umar bahawa dia datang untuk mengajak Umar menghadiri perjumpaan mingguan smart group bagi pelajar-pelajar lepasan Sekolah Taman Islam, sebuah sekolah swasta yang tidak asing lagi di negeri Utara. Namun, tak semua orang yang menyertainya berasal daripada sekolah itu, majoriti mereka daripada situ. Smart group ditubuhkan bertujuan untuk mengumpulkan mereka, berbincang soal akademik, akhlak, isu semasa, tarbiyyah dan da'wah. Smart group juga dapat mengikat hati-hati mereka agar tetap bersama sahabat-sahabat yang soleh dan suasana yang mendidik. Kewujudan smart group adalah cetusan dari kesedaran bahawa fatamorgana dunia hari ini terlalu menipu daya. Maka, setiap jiwa yang hajat kepada Islam perlu dikumpulkan bersama biarpun dalam smart group kecil agar mereka boleh lengkap- melengkapi dan kuat- menguatkan menghadapi cabaran jahiliyyah.

(Ahh, boleh blahlah smart group! Pergi jahanam dengan Asiah Yusro.... Aku dah besar, aku tak perlukan smart group. Aku bukan pelajar Sekolah Taman Islam lagi. Aku mahasiswa universiti. Smart group, namanya pun sudah jelek aku mendengarnya!)

"Banna, ana ada hal lah esok," Umar masih mengekalkan ganti nama ana yang cukup sebati dituturkan di Sekolah Taman Islam.

"Hal apa yang lebih penting dari smart group?"

"Err...nak buat assignment, banyak lagi tak siap. Hari Isnin ni dah kena hantar," Umar beralasan. Dia sudah pandai berbohong.

"Kalau macam tu, kita buat smart group di bilik nta. Sambil-sambil tu, kami semua boleh tolong nta siapkan assignment.." Banna menawarkan pertolongan.

"Eh, tak yah lah...ana boleh buat sendiri,"Umar menolak.

"Datang smart group kejap je, Umar. Tak sampai pun sejam. Insyallah, kalau nta datang, Allah akan permudahkan urusan nta untuk buat asignment . Kalau kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita. Smart group bukan benda main-main, ianya tanda sensitiviti kita pada agama. Sahabat-sahabat kita semuanya dah cukup rindu kat nta,. Masuk ni, dah tiga kali nta tak datang. Bayangkan tiga minggu nta menghilang, macam mana sahabat-sahabat kita tak risau?!"

(Mereka semua ni sama cam dulu. Ambil berat sungguh! Tapi, aku dah bosan dengan smart group...)

"Malam kami ziarah bilik nta ramai-ramai tu, nta ke mana? Bukan ke kita dah janji?!" Banna melontarkan persoalan.

"Ana minta maaf. Ana terlupa. Malam tu, Fathil ada urusan. Ana temankan dia. Tak sempat nak hantar mesej kat nta,"

"Umar, ana bukan nak marah, ana masih sangka baik kat nta. Nta tetap sahabat kami sampai bila-bila. Datanglah esok..."

"Esok memang ana tak bolehlah. Kirim salam je lah kat semua. Kalau ditanya, katakan ana banyak assignment,"

"Insyallah. Oh ya! Dr. Azmin kirim salam . Dia kata puas dia contact nta tapi tak dapat-dapat,". Wajah kebapaan bekas guru di Sekolah Taman Islam yang kini sudah bergelar pensyarah itu, bertandang di fikiran Umar. Baru semalam dia bertembung dengan Dr. Azmin namun dia cepat-cepat mengelak.

(Aku tak nak jumpa Dr. Azmin lagi. Aku dah bosan dengan bicaranya tentang tarbiyyah dan da'wah. Tarbiyyah, da'wah? Pergi jahanamlah...aku dah meluat. Pergi jahanam bersama Asiah Yusro)

"Ana dah tukar sim card?"jawab Umar bersahaja.

"Kenapa tak inform?"

"Ana nak rahsiakan nombor ana," Umar tak berselindung.

"Kenapa ni Umar?"hairan Banna dibuatnya.

"Ntah?!Bosan..."getus Umar. Wajahnya berkeriut kebencian.

"Bosan? Bosan dengan apa?"

"Bosan dengan semua yang ada di Taman Islam. Ana rasa terkongkong. Betul-betul bosan! Rasa muak bila diajak ke program-program tarbiyyah terutamanya smart group. Tolonglah...ana tak nak dengar perkataan tu lagi, bosan! Ana tak nak semua ni. Ana nak rasa enjoy macam orang lain. Ana tak tahan dan memberontak bila kat sini pun korang semua masih nak kongkong ana macam kat Taman Islam dulu. Ziarah, usrah, ukhuwwah, da'wah, tarbiyyah....ahh, meluat!"terpancul kata-kata yang sarat luahan.





(Kenapa aku luahkan semua ni? Ahh...biarkan...biarkan...dah lama benar ia terpendam) Umar puas dengan luahannya. Peluh dingin memercik di dahi.

Banna terpaku.

(Benarkah apa yang aku dengar ini? Alam nyata ke ni?)

"Umar, nta bosan dengan hidayah Allah?" Banna mengungkap.

(Gurlp! Bisa sungguh pertanyaan ni!)

Thursday, August 26, 2010

Hatiku Milikmu - [1]

بسم الله الرحمن الرحيم


Salam Alaykk~



Semakin kuusir semakin ia hadir,

Semakin kulupakan, semakin ia membelenggu fikiran,

Kusedar kini,

HATIKU MILIKMU


Biarpun jauh kularikan diri

Namun ia tetap melingkar di tangkai naluri...



SINOPSIS


Umar Al-Mujahid keliru. Hatinya direntap dua cinta berbeza. Sukar untuknya menilai kerana hakikat kedua-dua cinta itu indah di matanya.


Antara cinta yang pasti dan tidak pasti, Umar Al-Mujahid akur pada situasi. Dia memilih cinta yang pasti berbalas daripada seorang gadis jelita. Kehadiran gadis itu benar-benar mengubat luka penantiannya. Dia tidak mahu lagi mengharap pada cinta yang tidak pasti daripada si dia yang dianggapnya tidak sudi. Umar sudah putus asa dengan cinta si dia. Namun, hatinya tak pernah mengerti. Bayangan si dia tetap juga menghantui.


Tatkala dunia cinta pilihannya dilalui, suara imannya berbicara. Antara dua cinta yang dicari bukanlah segalanya… Hatinya terkesima pada cinta Allah dan Rasul yang mengajaknya kembali kepada tarbiyyah dan da'wah yang pernah dilalui. Cinta tarbiyyah dan da'wah, cinta yang cuba diusir daripada hidupnya kerana terlalu kecewa dengan cinta si dia yang tak berbalas. Baginya, tarbiyyah dan da'wah lah orang ketiga yang merampas cintanya. Namun, tarbiyyah dan da'wah tak pernah kecewa merebut cintanya. Cinta perjuangan itu memburunya saban waktu dengan perantaraan teman-teman tercinta, terutamanya yang sama-sama menuntut di Sekolah Taman Islam. Rupa-rupanya, cinta Allahlah yang berkuntum segar di sebalik cinta tarbiyyah dan da'wah.



"Hatiku milik siapa?" Umar Al-Mujahid terus mencari. Dia mengalami konflik diri kerana kurang persiapan hati untuk menempuh ranjau dan duri di universiti. Akhirnya, suara iman memberikan jawapan.

Apakah dilema cinta yang dihadapi?

Apakah rahsia dia boleh berinteraksi dengan imannya?

Apakah kesudahan cinta Umar Al-Mujahid?

Kepada siapa akhirnya diserahkan hatinya?

Dan banyak lagi persolan yang tersimpul dalam episod hidup Umar Al-Mujahid. Rungkaian kepada persoalan-persoalan yang melingkari kisah ini akan membawa pembaca bertanya diri sendiri,

"Hatiku pula milik siapa?" 


**********************************************************************************

HATIKU MILIKMU

(Bosan! Serabut! Boleh blahlah kau Asiah Yusro...aku tak nak seksa perasaan aku lagi) hati Umar merintih pedih. Penantian itu satu penyiksaan. Bertahun-tahun lamanya dia menanti handsetnya berirama dengan satu mesej kepastian daripada gadis itu. Bertahun-tahun itu jugalah jiwanya sentiasa resah. Entah bila penantiannya akan berakhir dengan satu jawapan.Entah bila.....

"Umar, kau nak beli sim card baru, kan?" soal Fathil tatkala melihat teman sebiliknya itu asyik membelek-belek handset..

"A'ah!" Umar mengangguk ringkas.

"Beli yang aku punya je lah," tawar Fathil.

"Separuh harga?" acah Umar.

"Beres. Kau nak sekarang ke?"

"Tak nak..." Umar acuh tak acuh.

"Cis, buang karen je!" bentak Fathil.

"Bukan tak nak beli tapi tak nak kau main-mainkan aku. Kau nak jual betul-betul ke ni?" Umar meragui.

"Muka hensem aku ni ada gaya penipu ke?" Fathil berwajah serius.

"Aku pelik sebenarnya. Bukan ke baru sebulan kau beli sim card tu? Tiba-tiba nak jual, mesti ada apa-apa,"
"Tak sampai pun sebulan..." Fathil membetulkan fakta.

"Habis tu, nak beli yang lain pulak?"

"Mmm..dah beli pun. Aku sebenarnya nak lari dari mak we aku. Malas nak ada apa-apa kenangan. Aku tak nak dia tahu nombor baru aku,"

"Tiap-tiap malam gayut, tiap hujung minggu asyik dating pun, boleh clash jugak?"

"Biasalah...lelaki mudah bosan. Seplayboy-playboy aku pun, aku nak cari perempuan baik tau. Dia ni emm...tak kena selera gadis idaman aku lah. Aku malas nak cerita kat kau. Kau tahu apa Umar...tak pernah bermak we," Fathil meluahkan.

Dia sebenarnya cemburu apabila teman wanitanya asyik mendesak dia menceritakan tentang seorang lelaki. Teman wanitanya terlihat lelaki itu membonceng motornya pada suatu petang dan asyik memuji ketampanannya. (Siapa yang tidak cemburu....dan, kau tahu Umar...kaulah lelaki itu)

"Aku bukan jenis mainkan perempuan macam kau..." Umar menyindir.

"Eleh...nak kutuk aku lah tu. Kau tahu tak Umar, aku clash pun sebab aku tak nak mainkan dia lagi. Aku dah syok kat awek lain lah,"

"Ish, awek malang mana lah pulak yang kan jadi mangsa kau kali ni,.. Dasar playboy!" sinis mengenakan Fathil sambil tersenyum.

"Dengki lah tu! Kau mengaku je lah Umar, kau tu tak berani macam aku nak cari mak we. Sampai sekarang tak der mak we. Dayus! Penakut!" Fathil pula mengenakan Umar.

"Penakut?! Sikit pun aku tak takut lah....aku malas je!"

"Eleh, cakap bolehlah. Kau kena tunjukkan pada aku, Aku cabar kau tackle Maziah," Fathil tersenyum sinis. Dia yakin Umar akan tewas dengan cabarannya.

"Maziah mana pulak ni?"

"Classmate aku. Sombong betul dia...buat aku tercabar je. Nanti ada peluang aku tunjuk kat kau. Tapi ingat, aku memang dah syok giler kat dia. Aku suruh kau tackle je, pas tu bagi jalan kat aku,"

"Kau kan mahir bab-bab tackle perempuan ni. Kau je lah tackle dia,"

"Kan betul kau penakut. Malu aku nak ngaku kawan...Kau tahu tak, Maziah ni bukan perempuan spesis biasa-biasa, dia lain sikit lah. Sebab tu kalau kau boleh tackle dia, memang aku tabik kat kau,"

"Hey, aku berani lah! Tapi, buang masa aku je tackle perempuan.." Umar menolak cabaran.

"Kau ulang lah kata kau berani 1000 kali. Aku tak kan percaya selagi kau tak tunjukkan pada aku. Nah, ambil sim card ni. Kalau berani, aku cabar kau tackle Maziah dengan cara apa sekalipun..." wajah Fathil hambar. Dia keluar meninggalkan Umar sendirian. Dia ingin menghabiskan malamnya di cyber cafe, manalah tahu kalau boleh sangkut dengan mana-mana awek dalam laman chit-chat.

(Buang masa layan Umar. Jenis budak baik, budak baik juga lah...) bisik Fathil.






Umar tercabar. Dia mendengus. Simcard baru diisi ke dalam handset. Sejurus selepas itu, irama handset berbunyi.

"Hello! Fathil..." suara lunak seorang gadis menerjah masuk ke gegendang telinga Umar.

"Err, hello. Fathil tak der," Umar gugup berhadapan suara itu.

"Ah, alasan je tu! Fika tak percaya… Fika nak cakap dengan Fathil, cepatlah..." suara itu mendesak.

"Betul...dia keluar. Sumpah!" Umar meyakinkan.

"Dah dekat 1000 kali Fika call, kenapa dia tak angkat?"

"Sebenarnya, Fathil dah pakai nombor baru. Ni dah jadi nombor saya,"

"Fika dah agak…dia memang nak larikan diri dari Fika. Tak tahu apa salah Fika...semua jantan memang macam tu, suka permainkan perempuan," suara itu bertukar sebak. Tersentuh hati Umar.

"Tapi, tak semua..."Umar membela kaumnya.

"Fika tak pernah jumpa pun....semua lelaki yang Fika kenali tak boleh harap,"

"Err, suatu hari nanti jumpa lah..."

"Huh, entah bila..."

"Berdoalah pada Allah"

"Berdoa?" gadis itu ketawa terbahak-bahak mendengar saranan Umar.

(Aku buat lawak ke?) bisik Umar, keliru.

"Okeylah. Nanti saya duduk kat sejadah dan berdoa 24 jam. Untung-untung, putera kayangan pun rasa nak turun melamar saya. Okey, bye!" gadis itu melawak sambil ketawa lagi.


Hati Umar bergetar. Inilah kali pertama dia bercakap dengan perempuan melalui telefon. Itupun secara tidak sengaja. Suasana di Sekolah Taman Islamnya dulu tidak pernah memberi peluang dan ruang untuknya mengenali seorang perempuan dengan lebih dekat. Jauh sekali untuk berhubung begini. Kali pertama dia cuba mendekati perempuan sewaktu awal masuk ke universiti. Itupun tak dilayan. Masakan tidak, perempuan itu ialah Asiah Yusro, perempuan yang terkenal dengan waro' di sekolahnya dulu.


Suara merdu gadis yang baru dikenali sebagai Fika itu terus terngiang-ngiang di pendengaran.

(Merdu sungguh suaranya., tentu wajahnya pun menawan. Lagipun, Fathil syok kat perempuan-perempuan cantik je. Tapi, kenapa boleh clash pulak?)

(Astargfirullah! Fitnah besar pada hati aku ni....)

Umar menepis bisikan-bisikan liar yang singgah di hatinya. Tiba-tiba irama handsetnya berbunyi lagi.

"Hello, Fika ni!"

Gurlp! Umar menelan liur.

"Hello!" balas Umar.

"Mmm. Fika lupa nak kenalkan diri tadi. Saudara jugak tak kenalkan diri pun," Umar terlopong. Suara merdu itu benar-benar menggetarkan hatinya.

"Nama penuh Fika, Nur Syafika bt Amir. Pelajar Kejururawatan. Saudara?"

"Err...Umar Al-Mujahid bin Muhammad Suyuti,"

"Wow, machonya nama. Orangnya pun mesti macho..."

"Ish, tak der lah. Biasa je..."

"Mmm, merendah diri pulak. Awak mesti best. Kalau Fika panggil abang Umar, boleh?"

"Abang?!" Gurlp!!!

"A'ah...tanda respect Fika, bukanya ada apa-apa. Boleh kan abang Umar?!"

"Err..." kelu lidah Umar.

"Okeylah bang Umar. Fika chow dulu. Nanti Fika call lagi. Kalau rindu Fika, sms lah...miss you my hero! Ummmwah..."

Gurlp! Sudah ke berapa kali Umar menelan liur. Fikirannya jauh menerawang. Dia cuba membayangkan wajah Fika. Hatinya dibuai bisikan-bisikan asyik tentang seungkap nama Nur Syafika. Suara halus selunak buluh perindu itu terus bermain-main di ingatan. Umar cuba menepis tapi kali ini dia tak berdaya lagi. Suara itu terlalu merdu dan menggoda. Umar mengukir senyum sendiri.





Penulis: FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN



Tuesday, August 24, 2010

Fasa Kedua...

بسم الله الرحمن الرحيم


Salam Alaykk~

Okay,saya tak ada idea..so, artikel ini di 'copy paste' dari : ISMA Mesir



Sudah berlalu hari-hari yang disebutkan Rasululullah sebagai permulaan bulan Ramadhan  yang dijanjikan rahmat oleh Allah swt. Masa yang berlalu dirasakan sangat sekejap apatah lagi bagi mereka yang masih  leka. Ambillah masa sejenak untuk merenung kembali diri, adakah kita menggunakan masa yang diberikan dengan sebaik mungkin? atau adakah kita masih lalai daripada merebut peluang keemasan tersebut.

Sebelum memasuki Ramadhan, semangat kita  berkobar-kobar untuk mendekatkan diri kepada Allah dan merebut segala tawaran yang disediakan Allah kepada kita. Segala perancangan dilakukan dengan sangat teliti agar setiap saat tidak dibazirkan. Alhamdulillah, permulaan niat yang baik, insya Allah mendapat pahala di sisiNya.

Setelah seminggu lebih berlalu ,marilah kita sama-sama muhasabah diri kita. Adakah segala perancangan berjalan lancar? Adakah semangat seperti itu masih membara dalam diri  ataupun sebenarnya semangat itu sebenarnya sudah terpadam tanpa disedari.  Ataupun, kita sentiasa berlumba-lumba membuat amal ibadat tetapi kita seolah-olah tidak merasai diri semakin dekat kepada Allah.

Setelah memasuki madrasah tarbiyah ini,  kita sepatutnya merasai  kemanisan  peningkatan iman dalam diri. Jika  mulut masih lagi basah bercakap benda-benda  yang  tidak berfaedah, telinga asyik mendengar umpatan dan lagu-lagu yang melalaikan, mata tidak lekang daripada melihat benda yang tidak sepatutnya, gelak katawa melebihi tangisan penyesalan, masa senggang diisi  dengan  menonton cerita, pendek kata, diri  masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda perubahan yang positif, ini bermakna ada sesuatu  yang tidak kena dengan diri kita.



Setelah ‘post-mortem’ dibuat, ternyata bahawa hati dan jiwa masih lagi sakit. Hari-hari dalam bulan Ramadhan yang berlalu  tidak memberikan apa-apa kesan terhadap jiwa kita disebabkan kelalaian diri kita sendiri  yang tidak bersungguh-sungguh menggunakan Ramadhan untuk merawat segala penyakit hati dan membiarkan diri menjadi hamba kepada nafsu . 

Terangkanlah  kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya..
[Al-Furqan :43] 

Rupa-rupanya diri ini masih lagi dijajah oleh nafsu sendiri tanpa disedari.

Berkata salah seorang tabi’in : Musuh diri ada tiga : dunia, syaitan dan nafsu. Maka perangilah dunia dengan zuhud di dalamnya, dan perangilah syaitan dengan menentangnya, dan perangilah nafsu dengan mujahadah dengannya. Berperang dengan nafsu merupakan salah satu daripada jihad yang amat sukar dilaksanakan. Namun demikian,  Allah yang  Maha Penyayang tidak akan membiarkan hambaNya berperang  tanpa mengajar selok-belok peperangan. Firman Allah, 

“Dan bagi orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami…” 
[Al-‘Ankabut:69]

Justeru, Allah telah menghadiahkan  Ramadhan sebagai latihan dan persiapan diri menghadapi peperangan nafsu dalam bulan-bulan seterusnya. Tambahan pula, Ramadhan memudahkan kita lebih fokus menundukkan nafsu dengan berpuasa dan kita lebih  mengenali tabiat nafsu ini  kerana salah satu musuh kita, iaitu syaitan telah diikat oleh Allah. Kita juga berpeluang menghapuskan segala dosa dan  mengaut  segala limpahan pahala demi menampung dosa-dosa terdahulu. Selain itu, puasa yang difardhukan juga adalah untuk menjadikan kita hamba yang bertakwa.



Sesungguhnya ini merupakan peluang yang datang sekali dalam setahun iaitu peluang yang dirasakan seorang hamba benar-benar bersama dengan Tuhan yang menciptakannya.

Kita seolah-olah seperti  anak kecil dalam pelukan manja seorang ayah. Segala permintaan kita akan ditunaikan dengan izinNya dan pelbagai ganjaran disediakan sebagai galakan  kepada kita untuk terus berjuang  di medan pertempuran ini. Betapa kasih dan sayangnya Allah kepada hambaNya. Semua ini diberi supaya kita semakin dekat kepadaNya.

Sedarlah wahai diri, Allah masih lagi menawarkan kepada kita nikmat-nikmatNya yang tidak terhigga walaupun  kita sering mengundang kemurkaanNya tanpa sedikit pun kita rasa bersalah dan malu.

“ Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku,maka (jawablah),bahawasanya  Aku adalah dekat.Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka sentiasa berada dalam kebenaran “ 
[Al-Baqarah :186] 

Oleh itu, janganlah kita melepaskan peluang untuk mendekatkan diri kepadaNya.

Terdapat juga sesetengah  insan yang bersungguh-sungguh memperbanyak amal ibadat dalam bulan ini tetapi seolah-olah tidak dapat merasai kemanisan iman. Ini juga penyakit hati yang patut dirawat. Cuba lihat semula diri kita, adakah amal ibadat yang kita lakukan disertakan sekali dengan niat ikhlas kerana Allah?

“Barangsiapa  mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya”
[Al-Kahfi :110]





Dalam ayat ini jelas menunjukkan syarat penerimaan amalan adalah amalan yang saleh beserta niat yang ikhlas kerana Allah. Menurut Amr Khaled dalam buku islah qulub, kebanyakan orang  kuat agama  yang futur adalah disebabkan oleh  terlupa bersertakan niat ikhlas dalam amal ibadatnya yang banyak.

Setiap hari kita melakukan amal ibadat yang banyak sehingga  merasakan ibadat itu seperti rutin harian. Inilah kesilapan yang selalu kita lakukan, menganggap sudah menjadi kebiasaan  dalam bulan Ramadhan untuk mempertingkat amal ibadat. Kita berlumba-lumba beribadat tanpa mengambil kira amalan ini diterima ataupun tidak. Apa yang penting, segala yang telah dirancang mesti dilaksanakan sehingga terlupa objektif utama  ibadat adalah mendekatkan diri kita  kepada Allah.

Justeru, kita hendaklah  sentiasa mentajdid niat dalam apa jua amalan yang kita lakukan supaya apa yang kita buat ini adalah kerana Allah, bukan kerana kebiasaan. Yang paling penting segala  amalan ibadat dalam bulan ramadhan ini diterima Allah dan terasa kemanisan beribadat kepadaNya. Barulah kita mampu istiqamah dalam bulan-bulan seterusnya kerana keseronokan kita beribadat kepada Allah paling didambakan melebihi mengharapkan ganjaran pahala.

Natijah ramadhan ini bergantung kepada tahap kesungguhan diri kita sendiri untuk mendekatkan diri kepada Allah, melepaskan diri daripada cengkaman nafsu  dan membersihkan diri daripada segala kekotoran. Jalan sudah terbentang, cuma kita yang menentukan diri kita hendak menjadi orang yang beruntung ataupun orang yang rugi.

Dan Allah mengilhamkan kepada jiwa itu(jalan) kefasikan dan ketakwaannya.sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu.dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” 
[As-Syams : 8-10]

Jika hari-hari yang sudah berlalu kita  dalam keadaan terleka, maka insaflah dan mohonlah keampunan daripada  Allah. Kita masih belum terlambat. Ruang untuk kita membaiki diri masih terbuka. Allah melihat segala ibadat yang kita lakukan siang dan malam. Jadikanlah Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terakhir untuk kita perbanyak amal ibadat.

“ Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan  atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.” 
[Ali Imran : 135-136]

Firman Allah ini menyejukkan hati insan yang baru terjaga daripada lena. Memberi semangat baru kepada kita untuk terus berusaha menghapuskan dosa-dosa dan mengikis saki-baki  karat  jahiliyyah yang masih terlekat dalam diri. Serta memperbaik mutu amalan kita supaya diterima Allah.

Ramadhan hanya tinggal beberapa hari lagi. Pertingkatkanlah  usaha supaya kita bebas daripada kekuasaan nafsu. Ini disebabkan oleh, kita yang sepatutnya menguasai nafsu ini. Jadilah  seorang yang merdeka jasad, akal dan ruh dan seorang hamba yang sangat patuh kepada penciptanya.

Semoga ramadhan kali ini dapat menyembuhkan jiwa-jiwa yang sakit dan keluarnya kita daripada madrasah ramadhan ini seperti bayi yang baru lahir, suci daripada segala dosa. Janganlah kita tergolong dalam orang yang disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad saw, melepas dan rugilah bagi orang yang didatangi  ramadhan tetapi tidak  diampunkan dosanya.

Hai jiwa yang tenang.kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu” 
[Al-Fajr:27-30]





Semoga acuan ramadhan kali ini dapat membentuk diri dengan pembentukan rabbaniyyan bukan setakat pembentukkan ramadhaniyyan.Selamat bermujahadah! 

Wallahualam