Friday, February 19, 2010

Marathon Muhammad Ahmad Zahid

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Alaykk~

SUBHANALLAH! sangaat teruja saya pada hari ini...menonton rancangan Semanis Kurma di TV9..Berkorban Demi Permata Hati..ALLAH telah murahkan rezeki buat adik Muhammad Ahmad Zahid di usia yang muda untuk pergi menyahut panggilan Allah-mengunjungi Baitullah Al-Haram..

Jadi saya meng'google' mencari info mengenai adik Muhammad Ahmad Zahid yang boleh dikongsi bersama...~..Generasi Al-Quran...

Muhammad bukanlah dilahirkan terus sebagai seorang hafiz Quran. Beliau melalui 'marathon' yang panjang dan menuntut banyak pengorbanan. Ahmad Zahid Zainal Abidin dan Siti Khadijah Fadzil bercerita tentang kelahiran al-hafiz ini.

KEMENANGAN terkini Muhammad apabila diumumkan sebagai pemenang bagi kategori bacaan terbaik pada Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai (DIHQA) ke-12, September lalu.

JIKA selama ini kanak-kanak sering ditegur kerana berbuat bising ketika berada di dalam atau pekarangan masjid, surau, musolla dan mana-mana rumah ibadat, kehadiran adik Muhammad Ahmad Zahid, 13, sebaliknya disambut bagaikan menatang minyak yang penuh.

Bukan saja orang dewasa, sebaliknya kanak-kanak juga tersenyum lebar tatkala melihat kelibatnya dan berdebar-debar saat menunggu beliau berdiri di depan mikrofon. Almaklumlah, suara anak muda berkulit putih gebu ini kini lunak berkumandang di saluran TV9 setiap kali masuk waktu Zohor dan Asar. Muhammad juga dapat ditemui dalam program Mari Bertarannum di saluran yang sama pada setiap Isnin hingga Rabu mulai pukul 6.30 petang.

"Bacaannya amat mempesonakan," begitu lapor sebuah akhbar tempatan di Dubai ketika Muhammad menyertai musabaqah hafazan al-Quran 30 juzuk di Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai (DIHQA) ke-12 yang berakhir pada 20 September 2008. Muhammad menjuarai kategori bacaan terbaik pada acara itu.

Malah, sebelum mewakili Malaysia ke sana, Muhammad merakam 'resume' yang cukup membanggakan apabila berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran ketika berumur 10 tahun.

Setahun sebelum itu, Muhammad terlebih dulu menghafaz kitab hadis Matan Al-Arbain himpunan Al-Imam Al-Nawawi, Matan Tuhfatul Atfal dalam bidang tajwid, 60 kaedah fiqh, syarah Matan Al-Ajrumiyah dalam nahu dan beberapa kitab saraf dalam bahasa Arab.

Tidak bersekolah di sekolah kerajaan, Muhammad sebaliknya dihantar mengikuti pengajian di sekolah agama swasta seperti Institut Al-Quran Kuala Lumpur Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Muassasah Darul Furqan Bangsar, Maahad Tahfiz Al-Azhariyyah Shah Alam dan pengajian secara intensif serta individu dengan Allahyarham Syeikh Hussain dari Myanmar di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, penswastaan pendidikan Muhammad tidak menandakan beliau terputus daripada dunia 'normal' masyarakat di sekeliling. Anak sulong daripada lima adik-beradik ini mempelajari ilmu akademik dengan menghadiri kelas tuisyen bersama Kumon. Selain itu, Muhammad juga mahir berenang, memiliki tali pinggang hitam (Dan pertama) dalam taekwon-do, menganggotai kelab ilmu astronomi dan kelab komputer.

Nah, pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana Muhammad dapat melakukan kesemuanya? Semasa ditemui di rumahnya di Taman Tun Dr. Ismail, Muhammad baru saja pulang daripada sesi rakaman program Mari Bertarannum di Shah Alam.

"Kami keluarga marathon, sentiasa berkejar ke sana ke mari. Memang tidak ada masa lapang. Tetapi kami lakukan kesemuanya bersama-sama," kongsi ibu Muhammad, Dr. Siti Khadijah Fadzil, 41, yang merupakan seorang doktor gigi di Klinik Pergigian Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Bermula dengan solat Subuh berjemaah, jika musim bersekolah, Muhammad dan tiga lagi adiknya, Siti Aminah, 12, Ismail, 8, dan Fatimah, 7, dihantar ke sekolah Darul Hikmah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

"Anak-anak ke sekolah dari 8 pagi hingga 5 petang, jadi sama seperti waktu kerja. Balik ke rumah, kami berjemaah Maghrib dan Isyak di masjid berdekatan. Kami masuk tidur awal. Paling lewat pukul 10 malam. Muhammad dan adik-adik dihantar berenang, belajar taekwon-do dan menyertai kelab-kelab lain pada hujung minggu," kata bapa Muhammad, Ahmad Zahid Zainal Abidin, 41.


KELUARGA MARATHON. Dari kiri (barisan belakang): Muhammad, 13, Abdullah, 1, Ahmad Zahid, 41, Siti Khadijah, 41 dan Siti Aminah, 12. (Barisan depan): Ismail, 8, dan Fatimah, 7.


Penasihat undang-undang KLCC ini juga berkata Muhammad mengamalkan mengulang hafazan sekurang-kurangnya lima juzuk setiap hari.

"Dalam masa enam hari, Muhammad dapat mengkhatam keseluruhan al-Quran. Maksudnya dalam masa sebulan, dia khatam al-Quran lima kali," tambah Ahmad Zahid.

Muhammad, akui Siti Khadijah, umpama anugerah yang tidak ternilai.

"Muhammad sudah dapat mengaji di depan khalayak dengan tenang semasa berumur enam tahun. Pendek kata setiap kali berada di depan khalayak, dia memang tidak ada masalah gugup, takut dan sebagainya. Sebaliknya, kami (ibu bapa) yang risaukan keadaan dia. Seperti dia memang dilahirkan untuk semua ini ," katanya.

Keupayaan anak sulong daripada lima adik-beradik itu berdepan dengan audien berskala besar dan para juri dengan tenang bukanlah terjadi secara spontan.

"Kami mencari peluang untuk membiasakan Muhammad dengan orang ramai. Kami hantar surat kepada jawatankuasa masjid dan surau, meminta kebenaran agar Muhammad dibolehkan mengaji al-Quran di masjid berkenaan sebelum Solat Jumaat dimulakan. Jadi kami ada strategi, membiasakan Muhammad dengan audien berskala kecil sehinggalah besar. Ia dijadikan sebagai satu bentuk latihan kepadanya," jelas Ahmad Zahid.

Siti Khadijah menambah, keputusan membentuk Muhammad sebegini sebenarnya berpunca daripada memikirkan nasib anak-anak mereka pada masa depan.


KIRI: TIDAK ketinggalan dengan kemajuan dunia ICT, Muhammad dibenarkan melayari Internet, namun dengan pengawasan yang berterusan.


"Dulu, keadaan tidak mencabar seperti sekarang. Anak-anak boleh dibiarkan buat aktiviti apa pun. Mereka juga tidak mempunyai pilihan sebanyak sekarang. Jadi kami fikir kena kuatkan diri mereka dengan agama terlebih dulu sebelum mendedahkan mereka kepada perkara lain," katanya.

Dengan empat orang adik berada di belakang setiap langkah Muhammad, Ahmad Zahid menjelaskan empat lagi anaknya akan dibentuk menggunakan 'acuan' yang sama.

"Memanglah kosnya lebih tinggi kerana semuanya pun swasta. Tetapi niat kami bukanlah hendak melahirkan seorang ikon, yang kemudiannya lebih takut membuat silap di hadapan audien berbanding keikhlasannya sendiri membaca al-Quran," jelas Ahmad Zahid.

sumber: http://www.kosmo.com.my/



Suka dengar pesanan adik2 Muhammad kat rancangan Semanis Kurma tadi..;
Aminah(13tahun)- Hormatilah ibubapa...kalau kita menderhakai ibubapa kita,suatu hari nanti anak-anak kita akan menderhakai kita pula..
Ismail(9tahun)-Jangan tinggalkan solat, spend masa dengan perkara-perkara yang berfaedah..
Fatimah(8tahun)-Jangan lakukan perkara-perkara yang tak elok..

p/s: Sesungguhnya Allah menilai apa yang hamba Dia usahakan dalam menghasilkan benih yang terbaik...inshaALLAH~ Menghafaz Al-Quran merupakan salah satu langkah dalam mengembalikan kegemilangan umat Islam.


4 heart (s):

Ameen Muslim said...

assalamualaikum. subhanallah, dengan kuasaNYA adik zahid ni mampu menjadi Genarasi Al-Quran impian setiap muslim dan harapan ibu bapa untuk mempunyai anak sepertinya. suka entry ni. b(^.^)d

♥S.Hajarul Hamraa♥ said...

Waalaikumussalam,ameen...

ada pembetulan ye..
ZAHID tu ayah dia lah..nama adik tu MUHAMMAD BIN AHMAD ZAHID...hehe...

InshaAllah,moga2 selepas ni semakin ramai lahirnya GENERASI AL-QURAN...

Ameen Muslim said...

hehe...alamak, tersalah bacalah pulak. makase atas pembetulan.

peri2djeju said...

semoga generasi Al-Quran ini bertambah ramai...=)
pasti misi Islam kembali dijulang pada suatu hari nanti dapat dicapai dgn bertambah ramai generasi yg lahir daripada peribadi2 yg dididik daripada didikan Islam sebagai cara hidup..